27 September 2008
25 September 2008
Penurunan tidak bantu inflasi

Penurunan harga minyak gagal tangani inflasi - Pakar ekonomi
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN dan SARAH NADLIN ROHIM
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Penurunan harga runcit minyak petrol dan diesel sebanyak 10 sen yang diumumkan pada hari ini, dilihat tidak mampu membantu menangani inflasi, dan juga meningkatkan kuasa membeli di kalangan pengguna.
Para ahli ekonomi dan penganalisis tempatan bersetuju bahawa harga itu sepatutnya diturunkan sekurang-kurangnya 30 sen kerana tindakan itu mampu mengurangkan peningkatan inflasi.artikel penuh
Andainya teori menurunkan harga minyak dapat membantu mengurangkan kadar inflasi dari 8% ke 7% nampaknya tidak menjadi realiti. Oleh kerana itu semua pengguna tidak boleh bergantung kepada sumber penurunan harga. Soalnya adakah minyak menentukan harga barangan dan indeks kuasa beli pengguna? Bagaimana dengan kaedah sistem ekonomi Islam dalam menghadapi kekalutan ini?
24 September 2008
Sistem kapitalis umpama haruan makan anak

AS menuju era kemuflisan?
Oleh AZNAN BAKAR
(Di New York, Amerika Syarikat)
KIRA-KIRA 11 tahun lalu ketika negara-negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Korea dan Malaysia dilanda kegawatan ekonomi, Amerika Syarikat (AS) yang merupakan pendokong sistem kapitalis menentang sebarang campur tangan kerajaan dalam membantu syarikat-syarikat yang bermasalah.
Pada AS segala-galanya perlu ditentukan oleh pasaran. Jika sesuatu ekonomi jatuh maka ia tidak boleh dihalang. Syarikat-syarikat berkepentingan nasional tidak boleh diselamatkan oleh kerajaan.
Sebaliknya biar pasaran yang menentukan termasuk membiarkan syarikat terbabit ditelan oleh gergasi luar terutama dari AS.Artikel penuh
Saya mengumpamakan sistem kapitalis ini sebenarnya seperti haruan makan anak kerana AS yang mendewakannya tetapi mereka juga yang bankrap. Sistem ini bukan menyelamatkan manusia tetapi menjadi alat sebagai simbol ketamakan harta untuk kepentingan peribadi. Bagaimana dengan sistem ekonomi Islam? Saya akan cuba mengupas persoalan ini dan cuba di dalam Dewan Ekonomi keluaran akan datang.
Hari ini di Utusan Malaysia

Rasa tidak selamat punca kesangsian
Oleh RAHISAM RAMLI
Di dalam sejarah Islam, kepimpinan menghargai perpaduan kaum jelas dilihat melalui aksi dan tindakan siasah oleh Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda sebagai model negara berasaskan hubungan kaum. Baginda SAW bukan berkhayal tetapi membentuk pemikiran matang yang akhirnya mematangkan kaum-kaum yang disatukan melalui perlembagaan negara iaitu Perlembagaan Madinah.Artikel penuh...
20 September 2008
Krisis ekonomi AS

Di sebalik krisis kewangan global
Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA
TERLINGKUPnya dua buah bank pelaburan gergasi Wall Street, Lehman Brothers dan Merrill Lynch seminggu selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengambil alih korporat gergasi kewangan Fannie Mae and Freddie Mac menandakan kapitalisme korporat Amerika di ambang kemuflisan.
Situasi yang sedang melanda dunia adalah sangat menuntut kepada idea untuk menepis tempias bahang kejatuhan ekonomi negara.
19 September 2008
Harga Minyak hingga semalam

18 September harga minyak turun sehingga $97.16 berbanding pada $145 beberapa bulan yang lalu. Apakah ini satu petanda baik yang dinanti-nantikan oleh kita yang sedang tertekan dengan segala peningkatan kos sara hidup atau ianya lebih bersifat sementara. Sejauhmana pun perubahan harga bahan bakar itu mempengaruhi kesan kenaikan harga sekarang kita harus senantiasa berwaspada dan mengambil langkah berhemah agar mampu menghadapi segala cabaran dalam dunia ekonomi kapitalis.
Hari ini di Utusan


Sistem agihan zakat mesti bermaruah
Oleh RAHISAM RAMLI
KISAH penerima zakat di negara jiran yang berebut-rebut sehingga menyebabkan kematian 23 perlu dijadikan iktibar kepada kita semua. Sememangnya golongan miskin yang papa kedana ada di mana-mana, namun jangan sampai ia menjadi situasi yang sangat menyedihkan seolah-olah tiada ada pihak lagi yang hendak membela nasib mereka....Artikel penuh
16 September 2008
Zakat jadi rebutan


Tajuk utama muka depan Berita Harian dan Utusan Malaysia
23 terkorban rebut RM14.90 di Indonesia Zakat jadi rebutan KERANA RM16... Salah seorang wanita yang selamat terbaring di tengah-tengah mayat fakir miskin dan mereka yang cedera dalam kejadian berasak-asak merebut wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16) di Pasuruan, Jawa Timur. Dalam kejadian itu, sebanyak 23 orang terbunuh dan ramai yang lain cedera dalam rempuhan apabila kira-kira 5,000 fakir miskin berebut-rebut untuk menerima bantuan zakat daripada seorang peniaga di Pasuruan, semalam.
Semoga keadaan ini tidak menjadi situasi yang menyedihkan di negara Malaysia.
15 September 2008
Terkini di Utusan Malaysia/Online


Alhamdulillah setakat ini hasil tulisan saya di Utusan boleh dirujuk di laman web Utusan Malaysia
Sila klik Arkib Rahisam Ramli dan taip rahisam ramli dan klik "cari"
Zakat Korporat & Jihad Bisnes




"Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu manjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui." - Surah At-Taubah (ayat 103)
Bermula dengan tajuk di Utusan Malaysia ianya berkembang ke Majalah al-Islam
Miskin mangsa pasaran ekonomi kapitalis
Inilah hasil tulisan saya di Majalah al-Islam keluaran Ogos 2008. Mengupas isu peranan GLC (Syarikat Berkaitan dengan Kerajaan) kepada Jihad Bisnes.
Selamat Membaca.
12 September 2008
Jom belajar menulis


Antara pendorong saya untuk menjadi penulis adalah Saudara Zamri Mohamad,Penulis bebas dan pakar motivasi terkenal. Buku yang dihasilkan memang memberi tips yang sangat praktikal. Saya sendiri telah mempraktikkannya dan alhamdulillah hasilnya anda semua boleh lihat di Utusan Malaysia, Berita Harian dan yang terbaru Majalah Al-Islam keluaran Ogos 2008.
Sekalung penghargaan dan terima kasih buat Zamri Mohamad.
Sila layari laman web beliau.zamri mohamad atau
motivasiminda atau .motivasiminda blogspot
Melayu makin Serabut, Islam tempat berpaut

Kekuatan Melayu hanya pada Islam
Oleh RAHISAM RAMLI
ISU desakan supaya Datuk Ahmad Ismail memohon maaf dilihat tidak ada kesudahan atau penamat yang menggembirakan malahan menjadi semakin serabut.
Dalam kekalutan itu muncul pula desakan di pihak parti Gerakan supaya Barisan Nasional (BN) kembali kepada perjuangan asal, jika tidak parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan induknya.
Isu ini jika tidak diselidiki dengan telus akan memberi keuntungan pada sebelah pihak sahaja manakala Melayu/UMNO akan terus diaibkan.
Mengambil petikan di dalam akhbar Mingguan Malaysia, Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz pensyarah Undang-Undang Universiti Islam UIAM secara terus terang menyifatkan, apa yang terjadi sekarang kerana orang Melayu dilihat lemah.
Jika dari sudut ekonomi sudah ada angka yang menunjukkan bahawa Melayu sudah ketinggalan dalam pemilikan harta dan penguasaan ekonomi tidak sampai 18 peratus.
Ditambah lagi kekusutan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu apabila BN kehilangan lima buah negeri dan gagal memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat menjadi bukti yang dicanang sebagai kelemahan Melayu/UMNO.
Isu kelemahan integriti dan pembabitan rasuah di peringkat pemimpin dan rakyat turut mendapat perhatian besar. Di kala negara semakin hebat menjalankan kempen antirasuah semakin banyak pula dakwaan rasuah yang membabitkan Melayu juga.
Bagi meleraikan segala keadaan yang hanya membongkar kelemahan Melayu ada baiknya segala tindakan melalui kekuatan ekonomi, politik dan sosial Melayu dimantapkan.
Teras kekuatan Melayu adalah agama Islam. Justeru langkah pertama yang harus dilihat apakah Melayu sudah memastikan kekuatan pegangan agama Islam yang menjadi identiti bangsa Melayu sendiri.
Kekuatan Melayu perlu berpegang teguh dengan Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi asas pengajaran dalam kehidupan harian.
Tidak kira sama ada sebagai pemimpin atasan atau rakyat bawahan semuanya tertakluk kepada ajaran Islam yang mengutamakan prinsip-prinsip dan pegangan akidah Islam yang benar.
Penghayatan Islam bukan sekadar ucapan bahawa kita beragama Islam dan beriman kepada Allah semata-mata malahan wajar dijadikan sebagai cara hidup dan menjadi panduan kepada peribadi kita sendiri.
Mengabaikan ajaran Islam semata-mata kerana beranggapan bahawa kemewahan duniawi menjurus kepada tingkahlaku yang bertentangan dengan akidah. Jika undang-undang Allah yang sangat lengkap juga diabaikan apatah lagi undang-undang manusia yang tidak dipatuhi kerana alasan yang dangkal akal untuk memikir kesan kepada jiwa manusia. Firman Allah yang bermaksud:
"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal ang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)" (Surah al-Taubah, ayat 24).
Di samping mencari kemewahan dunia jangan pula dilupakan keuntungan hari akhirat sebagai pengimbang dan kawalan dari dalaman yang lebih banyak menjurus kepada nafsu semata-mata.
Itulah sebabnya kepentingan peribadi seringkali menjadi punca Melayu berbalah sesama sendiri dan peluang ini akan diambil oleh bangsa lain yang menunggu masa untuk mengaibkan kepimpinan negara.
Berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan Sunnah juga bukan sekadar amalan lahiriah semata-mata tetapi sehingga menusuk jauh ke dalam hati agar sentiasa membataskan diri dengan sempadan agar tidak melebihi garisan yang diharamkan.
Meskipun dengan hanya perbuatan cuba mengubahsuai angka-angka berkaitan kewangan agar dikira "halal" dan menjadi pendapatan sampingan sehingga memenuhi hasrat mengambil harta secara batil.
Apakah peringatan ini amat sukar untuk difahami oleh seseorang yang berakal waras. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:
Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Andainya ingatan ini terus disemadikan ke dalam jiwa umat Islam sudah tentu segala tindakan dan pemikirannya akan menjurus kemurnian akhlak dan sentiasa mengutamakan kecemerlangan dalam setiap aspek. Inilah yang dikatakan pemikiran dinamik kerana datang dari sumber yang tulus lagi bertenaga. Kekuatan Melayu bukanlah dilihat kepada ucapan berapi sehingga memukau orang awam tetapi perlu dinilai juga dengan perlakuan sama ada di tempat kerja atau tempat awam.
Biar sebanyak mana cabaran dan desakan daripada pelbagai sudut dalam menuntut kebangkitan Melayu sewajarnya kita perlu menilai secara makro dan mikro persekitaran yang mencetuskan situasi yang berbaur perkauman.
Rasa hormat dan ketinggian nilai nilai Islam mesti berpaksikan kepada unsur keimanan yang menjadi tunjang kehidupan Melayu Islam sehinggakan ia dirasai oleh semua bangsa lain.
Rasa kagum yang terpancar di mata orang lain juga kerana ketinggian pencapaian ilmu oleh bangsa Melayu. Kita juga sering dikaitkan dengan kedaifan dari aspek keilmuan kerana seringkali memaparkan perbalahan pendapat di kalangan orang Islam.
Disebabkan itulah penghayatan budaya Iqra' (membaca) juga wajar menjadi amalan dan gaya Melayu Islam agar tidak terus dilihat semakin jauh ketinggalan dari bangsa-bangsa lain.
Keunggulan bangsa Melayu tidak lagi boleh dilihat sebagai bahan kajian sejarah semata-mata jika dipandang dari aspek kelemahan, tetapi sangat memerlukan sinergi baru yang berlandaskan ajaran Islam.
Menjaga perlembagaan dan memastikan kelangsungan kuasa politik dan memacu ekonomi akan menjadi hasil yang berjaya andainya kita semua kembali kepada ajaran Islam yang menjadi tonggak dan prinsip hidup.
Turun atau naik kita mesti bersyukur


Bursa Malaysia merudum - Paras terendah dalam lapan tahun
KUALA LUMPUR 11 Sept. - Harga saham di Bursa Malaysia jatuh ke paras terendah lapan tahun berikutan penjualan saham perladangan dan kewangan.
Pada masa yang sama, nilai ringgit juga merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun.
Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL), penanda aras pasaran tempatan turut dipengaruhi oleh berita bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Lehman Brothers dilaporkan mengalami kerugian lebih besar disebabkan krisis kewangan dan masalah kredit.
Bursa Malaysia menyertai bursa-bursa utama di Asia mengalami kejatuhan apabila IKKL ditutup jatuh 21.63 mata kepada 1,041.07 mata hari ini.
Lehman mengalami kerugian AS$3.9 bilion (RM13.26 bilion) dalam suku fiskal ketiga di sebalik membuat hapus kira baru terhadap aset gadai janji.
Sementara itu, para penganalisis tempatan berkata, faktor luaran merupakan antara penyebab yang menjejaskan pasaran saham selain kejatuhan harga komoditi dan meningkat risiko politk dalaman.
Penganalisis Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Koay Yi Chuan berkata, kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) sememangnya dijangkakan berlaku berikutan dengan pengukuhan nilai mata wang dolar AS menimbulkan rasa tidak yakin kepada para pelabur.
''Kaunter perladangan didapati mengalami kejatuhan terburuk dan beberapa penggerak utama dalam sektor perladangan yang mengalami penurunan mendadak ialah IOI Corporation, Sime Darby, Kulim, dan KL Kepong.
''Faktor lain termasuk kemungkinan berlakunya permintaan yang dicatu berikutan kelembapan ekonomi dunia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, prestasi buruk Bursa Malaysia berpunca daripada pengambilan keuntungan dana asing dan tempatan.
''Kebanyakan pelabur tempatan termasuk pelabur runcit cuba mengambil kesempatan untuk menjual saham-saham bukan mewah,'' kata beliau.
Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj pula berkata, kelemahan tahap ekonomi AS masih menjadi punca kepada kelembapan pasaran saham seluruh dunia.
Katanya, faktor para pelabur berpindah kepada portfolio baru iaitu pelaburan mata wang Amerika Syarikat turut menyebabkan kejatuhan pasaran saham global.
"Para pelabur asing sudah tidak yakin dengan pelaburan dalam perladangan dan mereka beralih arah kepada portfolio baru.
Kejatuhan harga komoditi dunia menjadi faktor yang memaksa bursa saham tempatan hari ini ditutup rendah,'' ujarnya.
Alsetdek memberitahu, perkara itu menyebabkan para pelabur melupuskan pelaburan dalam perladangan dan di dalam beberapa sektor yang lain.
Beliau berkata, keadaan politik serantau yang tidak stabil juga menyebabkan pasaran saham di Malaysia turut menerima tempiasnya.
"Masalah ini akan berterusan sekiranya keadaan politik serantau berterusan bergolak. Perubahan sistem pentadbiran politik di Amerika Syarikat iaitu pemilihan Presiden AS pada 4 November nanti.,'' katanya.
Inilah situasi yang akan dialami oleh semua pelabur saham.Namun sebagai orang Islam kita harus sentiasa bersyukur dan menganggap ini sebahagian ujian Allah swt kepada hambaNya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
