30 November 2008

Yoga,Yoga dan Yoga.


Masih keliru dengan fatwa pengharaman Yoga oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan? Artikel ini memberi penjelasan lanjut menurut Profesor Dr Abdulfatah Haron Ibrahim, Jabatan Usuludin dan Falsafah UKM. Layari Berita Minggu Online http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20081129234613/Article/index_html)


KEPUTUSAN Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan senaman yoga yang diamalkan secara menyeluruh dan sistematik kerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah umat Islam bagi sesetengah pihak sungguh mengejutkan. Bagaimanapun, Dr Abdulfatah Haron Ibrahim, tegas menyatakan yoga adalah 100 peratus daripada ajaran agama Hindu. Beliau bukan saja seorang Profesor Usuluddin dan Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kertas kerjanya mengenai yoga dijadikan panduan kepada pengharaman yoga, malah beliau adalah pakar yoga yang mempelajari dan mengamalkan yoga secara serius. Dr Abdulfatah berhenti selepas mendapati senaman itu bertentangan dengan Islam. Ikuti pandangannya kepada wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Siti Nur Almizan Aripin.


BOLEHKAH Dr menerangkan secara terperinci mengenai aspek yoga yang bertentangan dengan Islam?


Sebelum menjawab soalan ini, saya berpendapat kita terlebih dulu perlu memahami aspek falsafah yang mendasari isu ini, iaitu agama.

Islam adalah agama samawi, iaitu agama wahyu atau agama dari langit dengan Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT untuk menyebarkan agama ini. Islam adalah agama yang mengatasi akal. Walaupun mempunyai akal, tetapi kemampuan manusia terhad dan tidak dapat melebihi had itu. Sebagai contoh, manusia tidak boleh menyatakan dengan pasti lokasi sempadan langit. Jika ada sempadan, apakah pula di sebalik langit?

Manusia tidak boleh jawab, tetapi al-Quran menjawab persoalan ini dengan menyatakan ada tujuh lapisan langit dan di sebalik langit ada arasy dan syurga. Ini adalah perkara ghaib yang orang Islam percaya kerana dinyatakan dalam peristiwa israk mikraj, iaitu perjalanan Nabi Muhammad SAW dari bumi naik ke langit hingga Sidratul Muntaha. Peristiwa ini juga adalah antara mukjizat Rasulullah SAW.

Yoga mempunyai kitab suci seperti Bhagavad Gita, tetapi siapa yang tulis? Ada saintis Barat mengkritik sumber agama Hindu yang mempunyai perkara samar-samar. Memang benar agama Hindu adalah lebih awal ribuan tahun berbanding Islam, tetapi ada pelbagai kontroversi dalam kitab itu yang diragui dan nilainya tidak sama dengan al-Quran.

Siapakah pengasas agama Hindu yang tidak mempunyai nabi. Apabila tidak ada nabi, tetapi berfikir mengenai perkara yang di luar kemampuan orang biasa faham, ini adalah falsafah, iaitu mengenai sesuatu hakikat di sebalik alam nyata atau metafizik. Kesimpulannya, Islam adalah agama samawi yang mempunyai nabi, manakala Hindu adalah agama falsafah yang tiada nabi.

Apakah aspek lain yang perlu difahami berhubung isu ini?


Aspek kedua ialah demokratik dan aristokratik. Islam adalah agama demokratik. Dalam antropologi, ada tujuh fenomena sosial, iaitu politik, ekonomi, sosial, sains, falsafah, kesenian dan agama. Konsep fenomena sosial berbeza antara Barat dan Islam. Dalam Islam, semua fenomena sosial tertakluk kepada hukum syariat agama Islam. Oleh itu, timbul hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Seluruh kehidupan orang Islam 24 jam sehari semalam terikat dengan hukum itu.

Islam itu demokratik. Nilai kemuliaan pada pandangan orang Melayu adalah berdasarkan beberapa aspek seperti bangsawan, gelaran dan nama baik. Hukum syarak pula melihat kemuliaan pada ketakwaan, istiqamah, beriman dan beramal.

Hindu pula adalah agama aristokratik. Ada empat kasta tetapi sebenarnya ada lima kerana yang kelima tidak termasuk dalam kasta. Saya memetik kenyataan majalah National Geographic dan Understanding Oriental Philosophy, iaitu sejak 1,500 tahun lalu, masyarakat kasta di India percaya ketentuan sejak azali bahawa manusia yang dilahir di dunia ini adalah tidak sama. Mereka terpaksa masuk ke dalam satu daripada empat kasta.

Dari kepala adalah kasta brahman, dari tangan adalah kesatria (pemerintah dan tentera), dari paha adalah vaisya (saudagar dan peniaga) dan dari kaki adalah sudhra (buruh). Walaupun Mahatma Gandhi adalah pejuang kemerdekaan India, beliau adalah dari vaisya menyebabkan orang dari kasta brahman dan kesatria tidak boleh tunduk kepadanya. Di India, orang yang mengamalkan yoga adalah dari kasta brahman dan kesatria.

Kembali kepada persoalan dasar, apakah yang menyebabkan yoga boleh menggugat akidah umat Islam?


Dalam agama Hindu, manusia pada mulanya bersatu dengan tuhan. Kemudian muncul eon (legenda), suatu benda yang menjauhkan sedikit demi sedikit manusia dari tuhan hingga mereka lupakan tuhan. Ini menyebabkan manusia perlu melawan nafsu hasil daripada eon itu. Yoga yang bermaksud 'yuj' adalah satu bentuk amalan kerohanian Hindu dan juga Buddha yang sebenarnya adalah serpihan daripada agama Hindu.

Pengamal yoga yang dipanggil yogin berusaha membebaskan fikiran untuk mencapai samadhi atau bersatu dengan brahma. Ini adalah falsafah yoga, iaitu bersatu dengan brahma, perkara yang jelas bertentangan dengan Islam.

Berdasarkan matlamat senaman yoga yang mahu bersatu dengan brahma, sebab itu adalah janggal jika ada bukan Hindu terikut-ikut, sedangkan ada banyak senaman lain.

Timbul persoalan di kalangan segelintir pihak mengenai bagaimana melakukan yoga bertentangan dengan Islam?


Segelintir pihak yang membantah keras mendakwa 'kami tidak menjadi Hindu pun.' Nasihat saya, tidak ada pihak yang boleh pertikaikan kerana tiada jaminan pengamal senaman itu tidak terjebak ke dalam mantera atau elemen falsafahnya. Bolehkah mereka memberi jaminan? Dalam satu laporan media massa, seorang pengamal yoga menunjukkan satu gerakan yoga, tetapi itu bukan yoga tetapi senaman biasa. Orang itu keliru antara senaman biasa dan yoga.

Mungkin kepada orang ramai, apabila disebut senaman yoga ialah asana yoga. Asana bermaksud posisi tubuh (postures) yang sebenarnya bukan hanya gerakan badan dan cara pernafasan, tetapi membabitkan akidah umat Islam.

Ada pelbagai jenis senaman asana yoga. Ada yang kata 84 dan ada yang kata 32 jenis asana yoga. Saya kemukakan beberapa contoh asana yang setiap posisi tubuh mempunyai makna.

Padmasana, iaitu melambangkan keheningan, kejernihan dan keyakinan diri. Dalam mitos kejadian brahma, dia dikatakan terbit dari bunga teratai yang keluar dari pusat vishnu. Yuga-Mudra pula adalah asana yang melambangkan sujud kepada tuhan yang jelas membabitkan perkara agama atau ketuhanan.

Garudasana, iaitu nama burung khayalan berkepala rupa manusia tunggangan tuhan vishnu apabila naik ke langit. Vishnu biasanya digambarkan dengan bunga teratai. Contoh asana yang saya katakan ini menunjukkan wujud unsur agama Hindu-Budha, iaitu bunga teratai, asana sujud dan asana garuda.

Bagaimana pula dengan jenis yoga lain?


Selain asana, ada lima lagi jenis yoga, iaitu hatha, karma, bhakti, jnana dan raja.

Hatha adalah gabungan ha yang bermaksud matahari dan tha yang bererti bulan. Ini bermaksud menyatukan matahari dan bulan melalui jalan pernafasan. Yoga ini semata-mata mengenai fizikal. Hatha bermaksud menguasai pemikiran melalui cara pernafasan tertentu.

Karma ialah yoga sebab musabab, iaitu untuk melatih hidup tidak mementingkan diri, berkhidmat untuk manusia, masyarakat dan negara di mana anda berada. Yoga ini adalah latihan penyucian diri dan melalui meditasi, mengangkat darjat diri ke tahap tertinggi. Hasil latihan ini menjadikan hati lembut dan melayakkan diri mengamalkan bhakti.

Bhakti adalah yoga ibadat atau yoga cinta ilahi. Dengan ini terbuka hati dan akal kepada martabat kehidupan tertinggi, mengajar beribadat kepada tuhan dan menyerah diri sepenuhnya kepada tuhan.

Jnana melayakkan kita memeriksa diri dengan minda yang terlatih dan daya tinggi melakukan penumpuan kepada hikmat manusia berada di dunia, manakala raja sebagai lanjutan mengenai intuition yang membawa kita kepada maha mutlak. Raja yoga membimbing seorang pengamal yoga (yogin) mencapai samadhi (bersatu) tertinggi, boleh bersatu dengan mutlak (brahma).

Bagaimana mantera yang dilafazkan ketika mengamalkan senaman membahayakan akidah?


Dalam agama Hindu, 'om' dikatakan kalimah kekuasaan maha suci, mantera paling handal berbanding yang lain. Dalamnya terkandung segala nama tuhan dan mengandungi banyak rahsia terpendam. Cara menyebut kalimah ini hendaklah dikeluarkan daripada belakang kerongkong, dihembus ke mulut, keluar dari mulut dan selesai apabila bibir tertutup huruf 'm' yang terhenti dan dengungan bunyi suara berterusan. Ini membabitkan semua anggota yang mengeluarkan perkataan dan suara yang mengandungi banyak nama tuhan.

Aum pula adalah mengandungi 'a' yang melambangkan kejadian terkandung dalam diri brahma, u melambangkan vishnu, tuhan pemelihara dan m ialah shiva yang melambangkan tuhan pembinasa. Brahma, vishnu dan shiva adalah satu dalam tiga dan digelar trimurthi atau tetiga. Bagaimanapun, ada banyak lagi tuhan atau dewa Hindu dan sukar dikira.

Alasan yang diberikan pengamal yoga ialah mereka melakukannya semata-mata untuk kebaikan kesihatan?


Jika yoga baik untuk kesihatan, mungkin WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) akan mengeluarkan kenyataan bahawa jika hendak melihat model orang yang sihat adalah pergi ke India kerana mereka bersenam yoga dan sihat. Perkara itu tidak berlaku. Ini yang menyebabkan saya menulis mengenai yoga. Saya cuma membuat perbandingan dan pembaca jika faham, fahamlah. Maksud saya, fikirlah sendiri sama ada yoga bagus atau tidak.

Saya mengemukakan kes ini kepada pihak berkuasa agama kerana seseorang menimbulkan perkara yoga yang saya bantah kerana ia adalah perkara Hindu. Di antara hujah saya ialah siapakah yang boleh menjamin apabila (pengamal yoga) disuruh bernafas dan sebut om ... aum. Selain itu, adakah pengajar Yoga adalah seorang Islam yang betul-betul Islam atau bukan Islam. Batas senaman yoga ialah jika setakat menggerakkan badan semata-mata tiada mantera atau lain-lain, jika larat buatlah.

Jika pengamal yoga menyatakan bahawa dua atau tiga jenis penyakit dapat diubati, saya hendak kata ini belum boleh dijadikan kaedah yang boleh diterima pakai oleh semua orang. Kenyataan itu adalah pengalaman peribadi. Jika betul-betul serius, pergilah ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) atau mana-mana badan lain untuk membuat penyelidikan.

Saya juga mengikuti sejarah pengubatan India sebagai pengetahuan umum. Saya mendapati India mengeksport ubat herba tradisional, ayurveda namanya dan bukan yoga.

Persoalannya jika yoga berusia ribuan tahun, mengapa orang India sendiri tidak bercakap mengenai senaman yoga boleh menyembuhkan penyakit tertentu. Sepatutnya nyatakan bahawa senaman yoga memberi faedah kepada kesihatan, tetapi mengapa orang India yang berpengalaman dengan sejarah begitu lama tidak menyebut mengenai yoga.

Masyarakat berpendapat yoga baik untuk kesihatan. Mereka melakukan senaman tanpa mantera. Buku mengenai yoga juga banyak di pasaran dan tidak memasukkan mantera?


Yoga adalah 100 peratus daripada ajaran Hindu. Bagi menjawab soalan ini, secara analogi saya nyatakan bahawa arak haram kerana memabukkan. Ada orang menyanggah dengan menyatakan tidak mengapa minum sedikit arak kerana tidak memabukkan. Benar! Tetapi arak tetap arak dan hukumnya haram.

Begitu juga dengan yoga yang haram kerana mengamalkan ajaran Hindu. Walaupun diamalkan sedikit tetapi yoga tetap yoga.

Memang benar di pasaran tempatan ada banyak buku yoga, tetapi masyarakat tidak mendapat gambaran tepat kerana maklumat dalam kebanyakan buku bahasa Inggeris mengenai yoga terhad kepada aspek tertentu, tetapi buku itu menggunakan nama yoga.

Gambaran mengenai yoga yang tidak lengkap menyebabkan masyarakat melenting apabila mendengar fatwa mengharamkan yoga. Saya terfikir juga, adakah orang Melayu membaca buku yoga yang lengkap. Saya fikir tiada atau adakah buku itu dijual di pasaran. Mungkin ada, tetapi adakah betul-betul yoga yang lengkap.

Bagaimana amalan senaman (posture) yoga jika dilakukan boleh menyebabkan pengamalnya terpengaruh atau terjejas akidah?


Secara asasnya, posture mempunyai meditasi. Ketika meditasi, kita diajar mengenai maksud perkataan om atau aum dan menggunakan intuition (ilmu yang terus datang ke hati daripada tuhan). Dalam Theory of Knowlegde, manusia tahu melalui senses (pancaindera). Kedua, melalui perantara yang bagi orang Islam adalah al-Quran dan hadis. Ketiga adalah melalui akal. Keempat dan yang dipertikaikan adalah manusia mengetahui melalui intuition (ilham laduni).

Intuition sebagai sumber pengetahuan menimbulkan debat yang berpanjangan dan tiada penyelesaian. Akidah Islam menolak intuition sebagai sumber pengetahuan kerana tidak meyakinkan dan tidak dapat dikongsi bersama.

Dalam kitab Jawi disebut sebagai ilham laduni, tetapi akidah Islam tidak menerimanya. Tasawuf menerimanya. Kita boleh mengguna lima pancaindera yang sihat, kita boleh menggunakan akal yang sihat dan normal serta boleh menggunakan al-Quran dan hadis. Intuition datang sekali-sekala ke dalam hati orang tertentu dan berbeza mengikut individu. Oleh itu, kita tidak boleh menjadikan intuition sebagai sumber ilmu untuk semua golongan.

Dalam kes yoga, jika tiada intuition, maka tidak ada yoga. Apabila ada intuition, meditasi dilakukan hingga sampai ke tahap nirguna brahman, tahap yang tidak wujud perbezaan dan segala-galanya adalah satu. Jika sampai ke tahap itu, Hindu adalah agama falsafah. Tidak semua akal manusia boleh menguasai pemikiran.

Adakah masalah yang berlaku ini kerana pemahaman umat Islam sendiri terhadap pengertian akidah yang tidak difahami sepenuhnya. Main cakap dan buat sesuka hati tanpa memikirkan tindakan boleh menjejaskan akidah?


Barangkali mereka bercakap dengan perkataan yang menyerupai agama lain (sembahyang atau apa saja). Perkataan atau sangka dalam hati, maka terjejas akidah seseorang. Jika dia tidak tahu? Maknanya suatu masalah besar. Tidak semua orang alim dan kadang-kadang alim itu juga terbatas. Masalah ini tidak boleh kita jawab dalam ruangan terbatas ini.

Secara mudah, kita beritahu saja bahawa menjejaskan iman itu tiga perkara iaitu iktikad di hati, dengan perbuatan dan perkataan yang menyalahi akidah – syariah Islam.

Jika kita buat secara sedar tetapi tidak tahu, jangan hendak cuba sama sekali. Saya rasa setiap individu boleh membezakannya, oleh itu setiap anggota masyarakat perlu mengambil tahu. Dalam masyarakat Melayu seperti di kampung, semua penduduk tahu, terutama penghulu dan imam. Kepemimpinan kampung perlu mengambil tahu hal anak buah.

Ini tidak berbeza di bandar. Masing-masing perlu mengambil tahu antara satu sama lain. Kita tidak boleh hidup terpencil. Apabila terperinci dan timbul tanda tanya seperti ini (isu yoga), bertanyalah kepada orang yang tahu.

Dalam isu yoga, sesetengah orang memberi komen berdasarkan lidah tidak bertulang, bukan ilmu pengetahuan. Apakah bahayanya jika ini berlaku?


Kita sudah tahu sekarang, mana yang boleh dan tidak boleh. Jika yoga menimbulkan kontroversi, kita boleh memilih senaman lain. Di Bandar Baru Bangi, suri rumah yang tidak bekerja atau pesara menubuhkan badan berlatih senaman Cina seperti tai chi, watakung dan chikung yang tidak membabitkan unsur agama.

Tetapi yoga mempunyai latar belakang yang dipertikaikan, iaitu kaitan dengan agama Hindu-Buddha yang kita tidak tahu selama ini. Sekarang sudah heboh dan kita tahu perkara sebenar, jadi pilih senaman lain.

Jika senaman biasa, orang kampung setahu saya tidak memerlukan senaman kerana bekerja menggunakan tulang empat kerat, tapi orang bandar semua menggunakan mesin yang menjadikan mereka pemalas. Ramai menjadi buncit dan gemuk.

Ada kemungkinan kritikan terhadap pengharaman yoga mempunyai kaitan dengan perniagaan berkaitan yoga. Akur terhadap fatwa bermakna sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan.

Ini adalah antara faktor yang menyebabkan yoga merebak kerana bertujuan untuk mencari keuntungan.

Saya andaikan perniagaan itu (berkaitan yoga) tidak besar. Jika tidak besar, ada lagi perniagaan lain yang boleh diusahakan. Jika sudah membahayakan masyarakat, lebih baik tidak diusahakan. Pada saya, kita mesti tahu dan belajar ilmu yoga untuk dijadikan sempadan. Mengetahui ilmu yoga boleh dianggap sebagai fardu kifayah supaya kita tahu untuk dijadikan sempadan dan bukan untuk diamalkan.

Pengajaran yang boleh dipelajari daripada isu ini?


Adakah kita hendak mendidik orang lain. Pada saya, kita tidak boleh hanya berkata 'jangan.' Jika kita kata 'jangan,' ini gantinya. Sekarang jika rakyat yang mahukan senaman tertarik dengan yoga dan pihak tertentu mendapati yoga mempunyai kaitan dengan agama, cari alternatif lain yang tidak terbabit dengan agama.

Sekarang tuan-tuan, orang Islam saja, ini alternatifnya (merujuk kepada senaman alternatif mengganti yoga). Barangkali pendidikan jasmani saja sudah cukup. Apa yang saya maksudkan, kita boleh mencadangkan kepada pihak berkuasa agama supaya menyediakan alternatif agar tempat yang kosong itu tidak lompang.


 

Ilusi dan Realiti Taj Mahal



SIAPA yang tidak kenal kisah keagungan dan kehebatan bangunan Taj Mahal di Agra, India. Kisah yang menceritakan betapa luarbiasanya kisah cinta Maharaja Shah Jahan (1616-1666) kepada isterinya yang ke lima (?) Mumtaz Mahal membina monumen peringatan pada tahun 1632 dan siap pada tahun 1648. Pada tahun 1983 UNESCO mengisytiharkan Taj Mahal sebagai Tapak Warisan Sedunia yang perlu dilindungi. Bangunan ini dikatakan 'permata senibina Islam'.

Tetapi hari ini, realiti Taj Mahal juga tidak kurang hebatnya seperti aksi Bollywood yang penuh tragik, peristiwa berdarah, senjata dan letupan bom di sana sini. Sehingga mengorbankan 140 nyawa sebagai aksi ganas yang tidak tahu punca sebenar. Sementara pasukan komando sedang berhempas pulas dengan misi menyelamatkan tebusan dan menghapuskan pengganas (andaian bahawa ia kumpulan pengganas Islam dan ada rangkaian dengan Pakistan).

Ikuti tulisan MJ Akhbar, bekas Ahli Parlimen dan Penasihat kepada bekas Perdana Menteri, Rajiv Gandhi juga Pengarang Pengasas The Asian Age dan Felo Persatuan Masyarakat Asia. Project Syndicate 2008 di Berita Harian Online (http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Rencana/20081128224711/Article) yang mengaitkan realiti aksi pengganas dan punca meletusnya pertempuran tersebut.

Saya ringkaskan antara punca meletusnya peristiwa berdarah itu ialah:

  1. Kemiskinan berlaku di kalangan orang Islam Mumbai.
  2. Ketidakadilan agihan ekonomi di India.
  3. Rasuah berleluasa.
  4. Kerjasam dengan rangkaian pengganas.
  5. Kegagalan pihak berkuasa India menghidu pengganas.
  6. Salah urus tadbir dan politik.

Betapa aksi ganas sudah tidak mengenal mampu dibendung kiranya dibiarkan berlarutan sehingga dendam sudah tidak lagi dapat ditahan. Apakah hari ini nyawa sudah tidak berharga sehinggakan boleh menjadi pertaruhan untuk menunjukkan keluarbiasaan (kedangkalan, kebengapan) sebagai tanda dendam sudah tidak lagi boleh disembunyikan. Semoga tanahair bumi bertuah Malaysia tidak menjadi ilusi dan realiti sehebat Taj Mahal.

28 November 2008

Memahami Fatwa Yoga,

[POST TAMBAHAN]-Sehingga ke hari ini fatwa pengharaman YOGA masih kedengaran. Mungkin akibat ketidakfahaman atau sengaja tidak faham terserah kepada ilmu masing-masing. Berikut paparan FATWA YOGA yang boleh diakses pada laman web JAKIM http://www.islam.gov.my/portal/yoga_Bm.php.

"Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008  di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga.  Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman  Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.  Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.  Namun demikian,  masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim. 

Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

           (1)       kepercayaan atau keyakinan di hati.
           (2)       menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
           (3)       perbuatan.

 Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis

Rumusan daripada Fatwa tersebut yang mudah difahami adalah seperti berikut:

  1. Apakah sebenarnya YOGA?
    1. YOGA merupakan gabungan amalan fizikal, ritual Agama Hindu, Mantera dan Pemujaan.
    2. Tujuan YOGA ialah mendapatkan ketenangan.
    3. Kemuncak akhir YOGA ialah penyatuan diri dengan tuhan.
  2. Mengapakah HARAM?
    1. Merosakkan akidah Islam melalui kepercayaan, perkataan, pengakuan dan perbuatan.
    2. Mengandungi gabungan ketiga-tiga unsur di Bahagian A.
    3. Menjaga pegangan akidah umat Islam.
  3. Adakah YOGA DIHARAMKAN sepenuhnya?
    1. TIDAK sepenuhnya-hanya yang ada unsur pemujaan, bacaan mantera, kepercayaan tuhan selain Allah SWT.
    2. YOGA yang hanya mengandungi senaman fizikal tidak diharamkan.
  4. Adakah YOGA dibenarkan untuk umat Islam?
    1. YOGA yang hanya mengandungi senaman fizikal sahaja tidak menjadi kesalahan. Hukumnya adalah diharuskan (dibolehkan).
  5. Apakah kewajipan umat Islam selepas FATWA YOGA dikeluarkan?
    1. Menjaga akidah Islam agar tidak dipengaruhi oleh unsur kepercayaan Hindu.
    2. Sebaik-baiknya langkah berhati-hati ialah tidak terlibat langsung dalam YOGA.
  6. Adakah alternatif selain YOGA?
    1. SOLAT yang dilakukan dengan penuh khusyuk kepada Allah SWT.

      Apapun alternatif yang hendak dicadangkan kepada umat Islam, SOLAT lah kewajipan utama yang mengandungi pelbagai unsur-unsur kepada manusia.

[POST ASAL]

KEPUTUSAN muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (JFMK) terus menjadi bahan pertikaian dalam media massa. Terkini, keputusannya mengharamkan YOGA kepada umat Islam (dengan alasan dan hujah) tidak terlepas dari polemik orang ramai.

    Oleh kerana isu-isu semasa yang melibatkan pemutusan hukum syarak seringkali menjadi perhatian orang ramai, maka ada pihak-pihak tertentu yang masih tidak berpuashati dengan keputusan Majlis dengan pelbagai pandangan peribadi. Kredibiliti JFMK menjadi medan perbincangan sehinggakan ada yang pula terlebih pandai dari jawatankuasa fatwa sendiri.

    Perlu diingat bahawa JFMK memutuskan sesuatu keputusan melalui muzakarah atau perbincangan detail melalui jawatankuasanya yang terdiri daripada 22 ahli yang pakar dalam pelbagai bidang syariah Islam (boleh rujuk senarai nama di http://www.islam.gov.my/informasi/jawatankuasafatwakebangsaan.html ) Sudah tentu keputusan yang dibuat adalah menurut metodologi kajian yang detail dan bukan secara sambil lewa.

    Antara isu-isu yang telah diputuskan oleh jawatankuasa JFMK antaranya:

  1. Caj Pinjaman Tabung Pendidikan Negara
  2. Pelaburan saham dalam ASB dan Asn
  3. Pengharaman Pengkid
  4. Isu mubahalah
  5. Penggunaan Dakwat khas untuk pilihanraya
  6. Botox


     

Apa yang menjadi kebimbangan kini ialah apabila segala keputusannya bukan cuba difahami tetapi lebih kepada usaha untuk menunjukkan bahawa JFMK telah membuat keputusan yang tidak tepat. Kini insitusi JFMK sendiri yang menjadi sasaran bahan perdebatan dan bukannya isu utama dalam keputusan yang dibuat. Perdebatan ini bukan sahaja dibuat oleh orang bukan Islam malahan orang Islam sendiri yang cuba menggugat kredibilitinya sebagai insitusi utama dan rujukan untuk umat Islam.


 

Sekadar bertanya-apakah kita lebih 'Alim dan layak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan?

26 November 2008

YOGA vs Kredibiliti Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan


KEPUTUSAN muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (JFMK) terus menjadi bahan pertikaian dalam media massa. Terkini, keputusannya mengharamkan YOGA kepada umat Islam (dengan alasan dan hujah) tidak terlepas dari polemik orang ramai.

    Oleh kerana isu-isu semasa yang melibatkan pemutusan hukum syarak seringkali menjadi perhatian orang ramai, maka ada pihak-pihak tertentu yang masih tidak berpuashati dengan keputusan Majlis dengan pelbagai pandangan peribadi. Kredibiliti JFMK menjadi medan perbincangan sehinggakan ada yang pula terlebih pandai dari jawatankuasa fatwa sendiri.

    Perlu diingat bahawa JFMK memutuskan sesuatu keputusan melalui muzakarah atau perbincangan detail melalui jawatankuasanya yang terdiri daripada 22 ahli yang pakar dalam pelbagai bidang syariah Islam (boleh rujuk senarai nama di http://www.islam.gov.my/informasi/jawatankuasafatwakebangsaan.html ) Sudah tentu keputusan yang dibuat adalah menurut metodologi kajian yang detail dan bukan secara sambil lewa.

    Antara isu-isu yang telah diputuskan oleh jawatankuasa JFMK antaranya:

  1. Caj Pinjaman Tabung Pendidikan Negara
  2. Pelaburan saham dalam ASB dan Asn
  3. Pengharaman Pengkid
  4. Isu mubahalah
  5. Penggunaan Dakwat khas untuk pilihanraya
  6. Botox


     

Apa yang menjadi kebimbangan kini ialah apabila segala keputusannya bukan cuba difahami tetapi lebih kepada usaha untuk menunjukkan bahawa JFMK telah membuat keputusan yang tidak tepat. Kini insitusi JFMK sendiri yang menjadi sasaran bahan perdebatan dan bukannya isu utama dalam keputusan yang dibuat. Perdebatan ini bukan sahaja dibuat oleh orang bukan Islam malahan orang Islam sendiri yang cuba menggugat kredibilitinya sebagai insitusi utama dan rujukan untuk umat Islam.

 

Sekadar bertanya-apakah kita lebih 'Alim dan layak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan?

23 November 2008

Bersediakah graduan kita?



Di sebalik krisis kewangan global sangat memerlukan persediaan rapi bagi menghadapi segala kemungkinan. Terutama kepada bakal graduan kita yang masih terkapai-kapai dengan dunia pekerjaan. Bekerja bermakna mencari pendapatan untuk menampung kos hidup bagi diri sendiri dan juga keluarga. Apa yang sering difikirkan oleh bakal graduan ialah :

  1. Bekerja sendiri atau makan gaji.
  2. Mampukah hasil pendapatan mereka menampung pinjaman pendidikan
  3. Apakah x factor mereka untuk bersaing dengan graduan lain

Berita Minggu Online antara lain melaporkan :

'Dunia pekerjaan kian mencabar'

Graduan perlu bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar berikutan krisis ekonomi global dengan membina keyakinan dan ketabahan diri menerusi penguasaan ilmu dan kemahiran tambahan selain daripada yang dipelajari di universiti.

Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata universiti itu sentiasa memastikan graduannya bukan saja dapat memenuhi pasaran guna tenaga tempatan, malah boleh berkhidmat pada peringkat global.

"Pelajar juga diwajibkan mengambil bahasa ketiga serta kursus keusahawanan supaya mereka lebih berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.

Ketika masih di IPT rebutlah segala macam skil yang menjadikan graduan akan keluar dari dunia pendidikan ke alam pekerjaan dengan penuh yakin dan tidak dilabelkan sebagai penganggur terhormat. Pilihan ada di tangan sendiri untuk menentukan mengikut keupayaan masing-masing.

20 November 2008

Jimat sekadar gimik.



SUDAH menjadi trend atau kaedah pengendali perkhidmatan untuk membuktikan bahawa mereka benar-benar memahami kesempitan para pengguna ketika krisis ekonomi global yang sedang merebak pada ketika ini.

Sebelum ini semua pasaraya (hypermarket) mengumumkan mereka komited dengan seruan kerajaan agar menurunkan harga barangan.

Pada masa yang sama sebuah syarikat kapal terbang tambang murah AirAsia pula mengumumkan tiada lagi surcaj bahan api bagi setiap penerbangan. Sudahlah murah ditolak lagi dengan surcaj bahan api yang dikenakan memang bertambahlah "sifat pemurah" mereka.

Kini sebuah lagi GLC, syarikat Plus Expressways Berhad dengan megahnya mengumumkan rebat dan diskaun sebanyak 10 peratus bagi pengguna yang melalui tol dari 12 malam hingga 7 pagi.

Ketiga-tiga contoh trend tersebut memang nampak "penjimatan", tetapi tidak lebih sekadar gimik bisnes. Benarkah hypermarket jimat dan menurunkan harga semua barang? Benarkah AirAsia menberi penjimatan kuasa beli pengguna? Akhir sekali adakah PLUS benar-benar memberi potongan harga pengguna lebuhraya?

Jawapannya mudah. Antara YA dan TIDAK. Cuba kita kaji semula harga yang diwar-warkan dan kita akan mendapati perkara-perkara berikut:

  1. YA jimat dan murah tetapi TIDAK semuanya.
  2. YA kerana harganya murah sebelum ekonomi melesat tetapi TIDAK kerana tiada aspek penguatkuasaan secara wajib untuk menurunkan harga.
  3. YA murah dari segi kos pembayaran tetapi TIDAK semua waktu pengguna memerlukan khidmatnya.

Apa pun penjimatan yang ditawarkan ingatlah mereka semua ini adalah para peniaga yang MATA DUITAN . Gimik ini bukanlah menjadi sebahagian murninya sifat tolong menolong kerana syarikat adalah entiti yang berfokuskan keuntungan material.

18 November 2008

PNB dan Zakat Perniagaan


Hamad Kama Piah Che Othman menyerahkan replika cek zakat perniagaan berjumlah RM1.45 juta kepada Mohamad Hasan di Seremban, semalam.
- Bernama
Sumber;Utusan Malaysia Online,15 November 2008

Antara satu-satunya sumber ekonomi Islam yang perlu dipertahankan ketika ini ialah zakat yang dibayar oleh GLC seperti PNB. Janganlah pula harta ini juga mahu dikikis oleh puak-puak yang bercita-cita memperjuangkan keadilan bangsa kerana sumber dari zakat ini juga.

Dengan alasan dangkal bahawa Islam sememangnya untuk semua bangsa, tetapi jangan dilupakan siapakah yang harus dibantu kalau bukan bangsa Melayu sendiri?

Semoga PNB menjadi contoh kepada seluruh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk membantu umat Islam dengan menunaikan zakat perniagaan.

17 November 2008

Bancian Melayu Miskin.



Utusan Malaysia Online membuat bancian mengenai kemiskinan Melayu yang mempunyai pendapatan RM1000 ke bawah sebulan.

Lebih 300,000 isi rumah Melayu hanya berpendapatan bawah RM1,000 sebulan. Apa sudah jadi?

A. Usaha untuk membantu meningkatkan ekonomi Melayu tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh. 10.7% (459)

B.Langkah-langkah merangsang ekonomi Melayu hanya gah di atas kertas sedangkan manfaatnya tidak sampai ke akar umbi. 43.2% (1856)

C. Ada pihak mengambil kesempatan untuk mencipta kekayaan sendiri. 29.1% (1252)

D .Bangsa Melayu tidak ada potensi untuk meningkatkan ekonomi diri walau diberi bantuan. 17.0% (732)

Jumlah Undi: 4299

Sumber: Utusan Malaysia Online. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?pg=special/poll/999782.htm. 17 November 2008

MEMETIK sumber dari Utusan Malaysia Online, sekadar bancian mengenai isi rumah Melayu yang hanya berpendapatan kurang RM1000 sebulan. Meskipun ianya sekadar bancian tetapi menjadi asas kepada masalah orang Melayu yang memang perlukan bantuan.

Agensi-agensi bantuan pula janganlah hanya menunggu laporan demi laporan, atau menunggu si miskin ni datang mengisi borang permohonan dan proses kelulusan macam menunggu buah yang tak gugur. JKKK pula akan beri alasan lain akhirnya kesemua alasan tersebut boleh jadi kompilasi miskin dalam satu album.

Apa tunggu lagi, turun padang dan bantu si miskin segera sebelum bancian ini ditutup untuk menyiarkan masalah yang lain pula.

Bancian di atas dilihat puncanya pada bahagian B iaitu Langkah-langkah merangsang ekonomi Melayu hanya gah di atas kertas sedangkan manfaatnya tidak sampai ke akar umbi. 43.2% (1856)

Soalnya- bukan siapa betul siapa salah, tetapi agensi bantuan kenalah proaktif lagi agar mereka juga boleh hidup senang di bumi bertuah Malaysia ni.

12 November 2008

Melayu Paling Ramai Miskin...Jom bantu Si Miskin


Gambar sekadar hiasan-Tidak menjadi ukuran sama ada rumah ini juga dihuni oleh orang Melayu.

Utusan Online hari ini melaporkan dengan tajuk besar "Melayu paling ramai pendapatan bawah RM1,000". Meskipun pahit untuk diterima tetapi ini merupakan hasil kajian oleh Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun lalu, sebanyak 301,000 isi rumah kaum Melayu memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Post ini bukan bertujuan untuk berdebat dan menolak hasil kajian yang dilaksanakan oleh JPM tetapi sebagai "loceng amaran" bahawa kita sudah tidak boleh lagi dibuai mimpi tentang ketuanan Melayu semata-mata, tetapi segerlah mencari mereka yang dimaksudkan di dalam kajian di atas.

Agensi-agensi membasmi kemiskinan terutama di bawah Majlis Agama Islam Negeri, Syarikat GLC (yang sentiasa mendabik dada dengan keuntungan berbilion ringgit), seterusnya pemimpin dan parti Melayu (UMNO,PAS,PKR) tunggu apa lagi? Bukankah pintu amaran kemiskinan sudah terbuka luas. Gerakkan seluruh jentera yang melaungkan slogan demi Melayu dan Islam untuk membantu mereka semua.

Tiada lagi alasan lapuk dan streotaip bahawa data kemiskinan tidak lengkap, tiada laporan kemiskinan yang diajukan kepada JKKK, peruntukan tidak mencukupi atau apa sahaja alasan lain untuk melengah-lengahkan lagi kerja-kerja menamatkan sejarah si miskin, JOM BANTU SI MISKIN.

07 November 2008

Dunia baru AS dan Islam.


BARACK Obama bersama isteri dan dua anak perempuannya melambai ke arah penyokong semasa perhimpunan raksasa di Grant Park, Chicago, lllinois sejurus selepas memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat malam tadi.– AFP

Rahisam Ramli

PERHATIAN dunia kini tertumpu kepada bakal Presiden AS yang baru Barack Obama, 47, dari Parti Demokrat yang akan mengangkat sumpah pada 20 Januari 2009.

Kini impian Obama untuk merasai kerusi empuk di White House telah tercapai. Sejarah pilihanraya AS yang penuh dramatik kerana melihat perbezaan yang seringkali dikaitkan dengan dua perkara:
1. warna kulit (Obama kulit hitam manakal McCain berkulit putih)
2. umur (Obama 47 tahun manakala McCain 72 tahun)

Benarkah petunjuk ini membawa maksud bahawa rakyat AS sebenarnya tidak melihat aspek fizikal sebagai ukuran mereka untuk memilih presiden mereka yang ke 44. Akhirnya keputusan undian telah pun menjadikan impian Obama sebagai Lelaki paling berkuasa dunia.

Sepanjang kempen pilihanraya ini, Obama kelihatan menampakkan usaha membawa dunia baru AS dan negara Islam seperti Iraq, Afghanistan, Pakistan dan Sudan yang selama ini penuh ketegangan dan kemasukan tentera AS.

Apa yang terbuku di hati Presiden AS kali ini HANYA ALLAH SWT YANG TAHU. Kita masih berharap seperti mana pemimpin yang lalu agar AS membawa perdamaian, bukan permusuhan. Meneraju era kemakmuran, bukannya penghulu segala kejahatan. Kuasa sudah berada dalam genggaman, janganlah terus menjerat umat Islam. Obama impiannya menjadi realiti, negara Islam jangan digelar pengganas lagi.

AS tetap AS meskipun siapa Presidennya. Negara-negara Islam perlu membina kekuatan tanpa sempadan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada Obama. AS tetap AS sampai bila-bila.

04 November 2008

Aduhai Yang Berhormat...



KITA semenangnya telah biasa melihat pelancaran kempen oleh kerajaan yang pelbagai bentuk, objektif dan golongan sasaran. Persoalannya ialah berapa keratkah kempen-kempen yang dilancarkan oleh kerajaan selama ini memberi kesan yang positif dan memberi kesan kepada masyarakat umum?

Setiap kali kempen dilaksanakan pasti ada visi,misi dan objektif yang hendak dicapai agar kumpulan sasaran dapat diperbaiki, dipulihkan, atau dirawat selaras dengan tujuannya.Selain daripada menyediakan peruntukan yang tidak kurang hebatnya kita juga seringkali mempertikaikan keberkesanan pelaksanaan program terhadap kempen tersebut.

Utusan Malaysia Online semalam melaporkan, antara lain Kempen Budi Bahasa 2008 yang akan diperhebatkan kepada ahli Parlimen.

Kempen Budi Bahasa ahli Parlimen
KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kempen Budi Bahasa akan diperhebatkan dalam kalangan anggota Parlimen kerana mereka adalah contoh terbaik untuk diteladani oleh rakyat, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.


Semoga pada kali ini kempen budi bahasa di kalangan ahli Parlimen benar-benar menjadi benchmark (tanda aras) bahawa ahli-ahli Yang Berhormat (YB) agar berbudi bahasa dan menjadi rol model kepada generasi masa kini.

Lebih-lebih lagi ketika berbahas di Parlimen, sebuah institusi yang mewakili 27 juta rakyat Malaysia. Rakyat sudah bosan dengan kelantangan suara YB tetapi mencerminkan budi bahasa yang rendah kualitinya. Saya berpandangan bahawa YB juga manusia biasa yang perlu dirawat, dipulihkan atau dijadikan golongan sasaran jika mereka nampak gayanya terikut-ikut seperti rakyat biasa yang sudah tidak menghiraukan budi bahasa.


Perbahasan dan perdebatan di dalam Dewan Rakyat kadangkala menyaksikan beberapa insiden yang bertentangan dengan kempen budi bahasa.

Dengan gaya dan pertuturan yang mennyerabutkan kepala lantaran kerenah sebahagian ahli-ahli YB sehingga Yang di-Pertua Dewan Rakyat YB TAN SRI DATUK PANDIKAR AMIN BIN HAJI MULIA mula meninggikan suara untuk mengawal keadaan.

Semoga kempen budi bahasa ini merupakan kempen yang benar-benar berkesan dan mencapai objektifnya untuk menjadikan semua YB sebagai ahli Yang dihormati oleh para pengundi kawasan.

[Aduhai YB... Berbalah tetapi usah bertelagah, menggulung hujah jangan sampai tergulung lidah, Dewan yang mulia bukan rumah peribadi boleh bercakap sesuka hati, atur langkah sebelum berbicara agar mudah kami memahaminya. Gegak gempita suara YB bukanlah selunak suara selebriti, mohon ubah persepsi berbahasa sopan kerana suara YB adalah suara yang mewakili para pengundi].

03 November 2008

Kewangan Islam vs Kapitalisme





Rahisam Ramli

SELURUH pasaran saham dan para pelabur di dunia termasuk Malaysia dalam keadaan panik, tidak menentu, susut nilai dan menunggu masa untuk dirawat dengan suntikan modal dari kerajaan.

Pada waktu yang sama kapitalisme semakin terserlah dengan tembelangnya yang hanya tahu mengaut untung memenuhi kantung mereka sahaja tanpa mengambil peduli kesannya kepada ekonomi global.

Sistem Kewangan Islam turut menerima tempiasnya tetapi masih kukuh kerana asasnya ialah keyakinan pelabur dan mengenepikan risiko yang berpanjangan.

Majalah Dewan Ekonomi keluaran November 2008 membongkar di sebalik kemelut kewangan global yang mengagungkan sistem kapitalis tetapi kewangan Islam semakin mendapat perhatian kerana keteguhan menangani risiko pelaburan.

Ikuti rencana saya yang bertajuk "Kewangan Islam:Alternatif Penyelesaian" dan "Jihad Ekonomi Mekanisme Agihan Kekayaan Negara" sebagai sedikit perkongsian ilmu untuk tatapan.

02 November 2008

Pendekatan Bisnes Untuk Berjihad





Rahisam Ramli

TOKOH korporat yang menghiasi kulit depan Majalah Al-Islam keluaran Ogos 2008 yang lalu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim Naib Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia menjadi model usahawan Muslim yang menjadikan bisnes sebagai wadah untuk meninggikan syiar Islam. Begitulah juga faedahnya yang signifikan kepada seluruh umat Melayu Islam di Malaysia yang ketika ini sedang tercari-cari halatuju untuk menjadi Khairo Ummah (umat yang terbaik).

Selain itu saya turut mengupas persoalan apakah GLC sudah berperanan menjadi peneraju ekonomi bumiputera yang bertajuk "Wajibkan GLC Bayar Zakat" bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pakar UKM, Profesor Madya Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa mengenai peranan GLC dalam membantu meningkatkan kutipan zakat sebagai instrumen ekonomi umat Islam di Malaysia.

GLC sebagaimana yang tercatat di dalam laporan kewangan mereka mempunyai nilai keuntungan yang mencecah berbilion ringgit, maka yang menjadi isunya adakah mereka turut mengeluarkan zakat perniagaan hasil keuntungan mereka? Akta Syarikat 1965 menjadi bahagian penting agar dapat dipinda dengan mewajibkan mereka mengeluarkan zakat perniagaan.

Inilah sebenarnya konsep Jihad Bisnes yang mampu menyelesaikan kemelut ekonomi dan dasar pengagihan kekayaan yang lebih adil di Malaysia.

Tegas atau Ganas?



Rahisam Ramli

MUTAKHIR ini banyak perbahasan mengenai orang Melayu, khususnya menyentuh soal survival politik dan kedudukan Agama Islam. Ketika saat kita meraikan nikmat ulangtahun yang ke 51 perayaan kemerdekaan banyak pula yang hendak melanyak sepuas-puanya Melayu/Islam di Malaysia dari pelbagai sudut dan penuh strategi.

Soalnya apakah pilihan yang ada pada tangan yang berkuasa seperti pihak kerajaan? Hendak bertegas pada keharmonian kaum namun telah disalahanggap sebagai tindakan ganas lagi tidak bertamadun kerana adanya penahanan suspek melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kalau tidak bersalah sudah tentu kerajaan tidak guna ISA, macam guru displin sekolah nampak tegas sebab bawa rotan. Kalau pelajar kurang ajar alamatnya rotanlah yang akan digunakan (nampak ganas juga). Tetapi mereka yang tak buat salah tak kenalah rotan tu, bukannya main belasah saja sebab guru disiplin pun guna akal juga sebelum merotan.

Bila prinsip demokratik berkembang subur dengan lajunya di bumi bertuah ini ada pula yang hendak kembali ke zaman autokratik. Mungkin demokratik telah menjadi peledak api marah dan dendam yang sudah lama tersimpan di benak masing-masing. Umpama lembu yang dilepaskan dari kandang, habis dilanggarnya sekali tuan punya lembu sebab pagarnya sudah terbuka dengan seluas-luasnya.

Jika dibiarkan semuanya berbahas dalam Dewan Rakyat dah umpama pasar malam, sampai Menteri nak menggulung hujah sampai tergulung lidah. Belum sempat menjawab suka sangat mencelah (kalau budak-budak kita kata suka menyampuk). Dibuatnya Dewan Rakyat tu macam rumah sendiri, cakap sesuka hati. Keadaan ini menampakkan kelemahan dan mengikut telunjuk katanya, tetapi jika sesuatu tindakan yang diambil untuk bertegas dipertikaikan pula.

Ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus itu pun hendak disapu bersih dengan alasan dangkalnya supaya berdaya saing di pasaran terbuka. Itu tegas atau ganas namanya masing-masing berdegar-degar memberi respon yang pelbagai.

Majlis Raja Raja Melayu telah pun bertitah agar menjaga segala yang telah termaktub di dalam perlembagaan demi menjamin perpaduan kaum. Kalau dah Raja Melayu pun bertitah memberi peringatan kepada kita semua tidakkah ianya sudah sampai ke kemuncaknya.

Melayu/Islam mesti bertegas Artikel 153, Perkara 3 Fasal 1, Perkara 152, Perkara 121 (1A), dan untuk itu semua kena mengetahui (sekurang-kurangnya) kena beli dan baca Perlembagaan Persekutuan. Kalau tak faham kenalah belajar undang-undang supaya lebih arif dari Majlis Peguam.

Tegas kena berilmu, tetapi ganas tidak bertempat akhirnya memakan diri sendiri. Ganas umpama tentera yang menyerang tanpa strategi (hentam kromo je), bertegas ada hujah dan semuanya senada seirama.

Bukan mudah untuk bertegas, tetapi sangat mudah untuk mengganas.

[Hari ini kerajaan bersetuju menurunkan harga minyak petrol dan diesel sebanyak 15 sen lagi. Menjadikan harga baru petrol RM 2.15 dan diesel RM 2.05.

ALHAMDULILLAH, syukur kepada Allah SWT, kepada kerajaan berbanyak-banyak terima kasih daun keladi, kalau ada turun lah lagi ye.

Kepada pemborong, peruncit, peniaga dan siapa-siapa yang dulu dok bagi alasan minyak naik so harga barang pun melambung,bila lagi nak turun.?..takkan buat tak tau je kot!! Malulah sikit, takkan nak tunggu minyak jadi air]