30 December 2008

Cuti, cuti dan cuti lagi.


SURATAN atau kebetulan kali ini tidak memaparkan kisah keluarga miskin. Tetapi saya terpanggil merenung kembali apabila melawat Tun Dr Mahathir Mohamad di blognya berkenaan THE AUTOMATIC GOVERNMENT. Kakitangan kerajaan mula bercuti pada 25 Disember (perayaan Krismas), jika disambung pada hari Jumaat 26 Disember (ambil Cuti tahunan), 27 dan 28 Disember (cuti rehat Sabtu dan Ahad). Kemudian mereka (termasuk saya..) bercuti lagi pada 29 Disember (Isnin) kerana sambutan Ma'al Hijrah ( fahamkah kita peristiwa Hijrah ni? Atau sekadar cuti). Kemudian masuk semula pejabat pada hari Selasa dan Rabu untuk 2 hari sahaja. Pada hari Khamis ini pula, 1 Januari 2009 mereka dan (@saya juga)cuti lagi sambutan Tahun Baru, dan saya menyambung lagi pada 2 Januari (urusan pendaftaran sekolah anak).

Kesimpulan dari entry Tun Dr Mahathir bahawa kakitangan kerajaan saat ini menikmati cuti yang terlalu mewah. Suratan atau kebetulan?

26 December 2008

Suratan atau Kebetulan...Adik Akim nak sekolah.




Adik Akim (kiri) dan kakaknya..masa depan yang kelabu.


Hidangan ubi kayu goreng.


Bil sewa rumah yang tertunggak RM2050.00.


Sambal inilah makanan tengahari dan makan malam 9 ahli keluarga.

KEMBARA saya hari ni masuk hari ke 4 menemukan saya dengan keluarga seramai 7 orang anak. Anak-anak ini berumur daripada 20 tahun hingga 6 tahun.

Diringkaskan dalam perbualan itu, setiap kali masuk tahun baru pasti akan ada anak yang terpaksa ( keadaan wang yang cukup menyesakkan nafas) diberhentikan daripada sekolah.

Saya : Ni adik akim (anak yang bongsu) dah buat persiapan sekolah tadika?

Miskin : entahlah, itu yang sedang kami (Ibubapa adik akim) pikirkan.

Saya : Anak yang sulong (20 tahun) dah kerja?

Miskin : Dia berhenti masa Tingkatan 4, tak de SPM, sampai sekarang cari kerja. Sekarang ni pulak sedang sakit (...masih lagi disiasat oleh Doktor Pakar puncanya).

Saya : Rumah ni sewa macam mana?

Miskin : (...lalu ditunjukkan bil tertunggak sebanyak RM2050.00) kami berserah sajalah kalau kena halau.

Saya : Makan macam mana?

Miskin : Ni pun goreng tepung ubi kayu (..disediakan untuk saya). Hari ni sambal sajelah mampu disediakan.

Lalu saya minta izin pergi ke dapurnya melihat sendiri...ye memang itulah makanan 9 ahli keluarga ni..(dalam hati saya berkata, mana cukup ni untuk 9 perut diisi? Adik akim ( 6 tahun) pun makan sambal.

Adik Akim dah setahun diberhentikan minum susu tepung, keluarga mereka tak mampu. Sekarang ni adik akim minum susu tin pekat manis dicampur sedikit milo.

Adik Akim yang comel..sebaya anakku Mohd Irfan (beg, kasut, malah cuti ni pun hantar tuisyen...minum susu tepung pun berbotol-botol).

Tapi Adik Akim tak dapat macam tu, wajahnya manis masih tersenyum gembira ketika menyambut saya. Sebelum pulang saya bawa adik akim dan kakaknya pergi beli sedikit jajan di kedai runcit...(dia tidak banyak meminta, tetapi sukar memilih walau satu jajan pun). Adik akim moga kita berjumpa lagi...

23 December 2008

Suratan atau Kebetulan Siri 2.


Susu tin pekat manis menjadi minuman kanak-kanak miskin.


Hanya ini makanan tengahari dan makan malam mereka sekeluarga.


Ubat stroke, kad perubatan hospital..kerja tetap dilakukan untuk mencari rezeki.

HARI ini, perjalanan saya menemui 2 buah keluarga yang memerlukan perhatian kita semua sebagai insan yang prihatin.

Klik la lagu ni sebagai muzik iringan, bagi saya banyak kata-kata yang tak mampu diungkapkan. Di dalam perbualan tersebut, tangisan mereka sangat memerlukan pembelaan.

Saya     :     "Hari ni makan apa?"

Miskin     :     " Tengoklah sendiri di dapur saya"..lalu saya ke dapur melihat makanan tengahari mereka,nasi goreng campur kicap, sebelah kuali tu ada sayur kangkong masak air dan seketul ikan masin. "Malam ni pun ini sahajalah yang ada" katanya.

Saya     :     "Apa lagi bantuan yang diperlukan"

Miskin     :     "(Lalu ditunjukkan pada saya besi yang sudah bengkok dan perlu diganti, melalui pembedahan tulang kaki".)

Saya     :     "Anak encik (berumur 3 dan 5 tahun) minum susu apa..(saya ternampak 2 botol susu di atas meja makan)"

Miskin     :     (Lalu menuju ke dapur mengambil tin susu pekat manis cap F&N).

Saya     :     "AAA (ternganga mulut saya kerana mereka tak mampu beli susu tepung DUGRO,NESPRAY apatah lagi ENFRAGROW)

Saya     :     "Pakcik pernah stroke kenapa masih kerja pencuci kereta?"

Miskin     :     "Abis kalau tak kerja keluarga nak makan apa?"

Saya     :     (Dalam hati..apalah soalan bodoh aku tanya ni)".

....wajah mereka sarat dengan tekanan kemiskinan. RM 100 bantuan dari BaitulMal tidak mencukupi, mereka memerlukan kita semua untuk terus menerima suratan atau kebetulan ini.

Kata mereka terakhir sebelum saya balik, "datang dan tengoklah sendiri kehidupan kami, baru orang akan faham.

Janganlah hina bila kami mohon bantuan, sebab pikirkan anak-anak nak makan dan buat persiapan sekolah tak lama lagi, kami tebalkan muka juga merayu".


P/S: Saya nak ucapkan terima kasih pada KAKISYURGA yang respon soalan saya diblognya.


 

21 December 2008

Suratan atau Kebetulan

Klik dulu lagu ni sambil membaca entry di bawah.



Anak yang tidak mengerti mengapa ibunya sering merayu bantuan



Hanya gerai ini sahajalah tempat mencari rezeki menampung hidup


Rekod perubatan yang hampir koyak, sering sakit dan sentiasa memerlukan ubat asma.


Kad OKU dan alat pendengaran yang sudah tidak berfungsi.

KETIKA ini saya sedang membuat kajian rintis mengenai kemiskinan. Antara soalan dari keluarga si miskin yang saya temui seperti berikut:

MISKIN    : "Macam mana nak makan sebulan dengan RM100?"

SAYA    : "?"

MISKIN    : "Kenapa tak de pegawai Majlis Agama Islam datang tengok rumah kami?"

SAYA    : "?"

MISKIN    : "Rumah ni pun dah dapat surat merah sebab 3 bulan dah tak mampu bayar, kalau kena halau nak tidor mana?"

SAYA    : "?"

MISKIN    : "Nak kerja macam mana saya ada sakit jantung, kencing manis, asma? ( Sambil tunjuk segala macam ubat, rekod perubatan hospital).. jarum insulin pun saya pakai sampai tumpul baru beli lain."

SAYA    : "?"

MISKIN    : "Saya dokong anak saya ( berumur 1 tahun 8 bulan, baby perempuan yang comel) pergi mohon bantuan, kenapa mereka susah nak luluskan?"

SAYA    : "(Saya teringat anak sebaya saya)"

MISKIN    : "Saya dulu berniaga modal RM30, tapi dapat RM20 macam mana nak roling modal esok hari?"

SAYA    : "?"

MISKIN    : "Majikan marah sebab saya selalu cuti jaga mak saya sakit di rumah, saya berhenti kerja tapi macam mana nak cari duit?"

SAYA    : " (Sebelum balik saya hulurkan sedikit wang tidak seberapa...sambil memandang mata si miskin yang penuh harapan, tapi bertanya dalam hati-rintihan mereka tak dapat didengar oleh pegawai yang menguruskan borang permohonan bantuan...turunlah dan lihat sendiri keadaan mereka. Sampai bila mereka perlu bertanya?

20 December 2008

Jantung atau Untung!

Institut Jantung Negara (IJN Sdn Bhd) ditubuhkan pada bulan September 1992 yang lalu di mana Kementerian Kewangan mempunyai pemilikan syarikat sebanyak 99.99 peratus. Isunya apabila IJN samada diserahkan, diambilalih, dijual kepada SIME DARBY yang dikatakan hanya mahu membeli ekuiti sebanyak 51 peratus sahaja. Baca di Utusan Online

Perdana Menteri memberitahu, jika pengambilalihan itu berlaku, ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan terhadap rakyat malah kerajaan akan membina hospital yang serupa dengan IJN sekiranya ada kemampuan termasuk di luar Kuala Lumpur.

Menurutnya, cadangan pengambilalihan itu perlu diberikan pertimbangan sewajarnya terutama dalam meningkatkan lagi kemampuan IJN daripada segi menyediakan rawatan, ubat dan pakar-pakar yang terbaik.

''Dalam bidang perubatan ini, banyak perubahan yang berlaku dalam erti kata hospital yang kita nak jadikan paling canggih mesti ada alat paling baik begitu juga ubatnya dan pakarnya juga yang terbaik.
"Ini mungkin memerlukan kita membayar gaji lebih, bergantung pada siapa yang memilikinya, jadi banyak kos yang perlu dikeluarkan bagi menambah kekuatan dan keupayaan serta menambah lagi bilangan katil untuk pesakit serta bilik bedah," katanya.

Sehubungan itu kata Abdullah, ada baiknya jika ada pihak swasta yang dekat dengan kerajaan seperti Sime Darby yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC) terlibat dalam pengambilalihan tersebut.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini ramai yang mengandaikan IJN milik kerajaan dan rakyat berpendapatan rendah dapat menikmati rawatan daripadanya hingga menyebabkan mereka bimbang jika ia diuruskan oleh swasta.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan pengambilalihan itu bergantung kepada banyak syarat dan sama ada Sime Darby mampu memenuhi harapan kerajaan.
"Harapan kita adalah agar perkhidmatan hospital yang begitu cemerlang seperti ini akan tetap dapat dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah yang pada hari ini sedang menikmati rawatan seperti itu dengan caj yang berpatutan," katanya.

Sementara itu pihak Konglomerat Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang mengesahkan hasrat untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN), memberi jaminan untuk mengekalkan khidmat sosial perubatan jantung kepada golongan miskin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid berkata, aspek tersebut adalah antara tiga syarat yang digariskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dalam surat persetujuan secara prinsipal bagi Sime Darby mengambil alih kepentingan tersebut dalam IJN.

Menurutnya, Sime Darby merupakan pihak yang mengemukakan cadangan rasmi kepada kerajaan mengenai hasrat tersebut beberapa bulan lalu dan bukan kerajaan yang menemui konglomerat itu.
Katanya, Sime Darby sendiri terkejut dengan berita yang tersiar hari ini, sedangkan pihaknya baru hari ini menerima surat kelulusan EPU.

Surat EPU tersebut ujarnya, mensyaratkan Sime Darby supaya memberi komitmen untuk meneruskan tanggungjawab sosial kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin termasuk kakitangan kerajaan seperti yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan menerusi IJN sekarang.

Beliau berkata, syarat lain ialah rundingan mengenai nilai ekuiti pengambil alihan kelak yang memerlukan Sime Darby melaksanakan kajian wajar yang akan dikemukakan semula kepada kerajaan untuk kelulusan.
Syarat terakhir katanya, ialah berkaitan penyediaan pelan perniagaan iaitu perancangan Sime Darby untuk memajukan lagi IJN dalam tempoh lima tahun atau selanjutnya.

''Ini bukan pengambilalihan sebuah syarikat perniagaan ke atas IJN, sebaliknya merupakan perkongsian. Kami hanya mahukan 51 peratus dan bakinya masih dipegang oleh Kementerian Kesihatan.
''Dan mengapa Sime Darby? Ini kerana Sime Darby juga adalah sebuah syarikat rakyat. Kami adalah syarikat milik kerajaan (GLC) dan memiliki 10.5 juta pemegang saham,'' katanya pada sidang akhbar khas di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sebelah pagi, yang mengesahkan khabar angin dalam blog mengenai kemungkinan Sime Darby mengambil alih IJN.
Ahmad Zubir berkata, di pihak Sime Darby, pengambilalihan itu akan mampu membawa sinergi kepada IJN, menerusi kekuatan Bahagian Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sime.
''Kita komited terhadap perkhidmatan sosial kepada mereka yang berpendapatan rendah dan dari sudut Sime Darby, aspek mereka yang berkemampuan akan turut menikmati manfaat.

''Misalnya, jika berlaku katil atau bilik pembedahan penuh di IJN kelak, pesakit tersebut boleh dihantar menggunakan kemudahan kami di Pusat Perubatan Pakar Subang Jaya (SJMC) dan dengan doktor yang memiliki kepakaran yang sama,'' jelas beliau.
Menurut beliau, langkah seterusnya ialah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus sebagai formaliti.
Beliau menafikan pihaknya akan membuat rombakan terhadap barisan pengurusan IJN kerana 'mereka kini menguruskan IJN dengan cemerlang'.

Ditanya mengenai pendapat bahawa bila sesebuah institusi kerajaan diambil alih swasta akan menukar kadar caj, Ahmad Zubir berkata, pihaknya komited untuk tidak berbuat demikian.
Ahmad Zubir berkata, langkah mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN adalah sejajar dengan pelan perluasan Bahagian Penjagaan Kesihatan Sime Darby.

Sime Darby kata beliau, mempunyai pilihan untuk membina sendiri pusat perubatan jantung tetapi ia akan memerlukan bertahun-tahun untuk membina nama dan reputasi.
Sebaliknya menerusi jenama IJN ujarnya, aspek reputasi tidak menjadi masalah disebabkan IJN sememangnya sudah terkenal sebagai pusat perubatan jantung terulung di rantau ini.

P/s : Kebimbangan sama ada IJN memberi khidmat sosial dengan tagline-Taking Care Of Your Heart atau Untung semata-mata masih banyak pertanyaan dan jaminan yang perlu dibuktikan. Antara jantung atau untung kedua-duanya sukar dipilih dan dipisahkan kerana mempunyai kepentingannya kepada manusiawi.

17 December 2008

Pensyarah, peniaga..semua boleh.




Suasana di gerai jualan...

Nasi lemak! Mee hun! Dadih!..Murah,murah..cepat tinggal dua lagi nak habis..itulah suara-suara pensyarah FPI ketika membuka gerai jualan. 15 haribulan yang lalu, pensyarah FPI memeriahkan majlis pendaftaran pelajar baru dengan membuka gerai jualan. Saya bagi pihak koperasi kolej Islam mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada : Ust-ust: Zulkefli, Afif, Saiful, Shahrul, Rimi, Fadluzaman, Ustzh-ustzh: Saharia, Marina, Marsyitah, Suzyliana, Suhaya, Nazarul Aina, Pn Norazlina. Tanpa mereka tiadalah kemeriahan gerai jualan.

P/s: Bukan mudah apabila pensyarah yang sarat dengan teori di dalam kuliahnya membuat amali di luar kelas. Baru tahu susahnya, baru tahu langit tinggi rendah!!

11 December 2008

Mitos atau Fakta?


Diubahsuai daripada Bernama.com.my

Kes 1.

PENGGABUNGAN menjadi trend syarikat untuk mengembang daya saing dan melebarkan perniagaan. Itu tujuan asa. Tetapi lain pula hasil kajian yang dijalankan oleh A.T Kearney yang menjalankan kajian. Hasil kajian mereka mendapati bahawa (Dinyatakan oleh Pengarah Urusan A.T. Kearney Timur Tengah Dr Dirk Buchta):

  1. 70 peratus penggabungan berdepan masalah yang lebih buruk.
  2. 29 peratus syarikat mencapai sasaran peningkatan keuntungan selepas sesuatu penggabungan atau pengambilalihan.
  3. 57 peratus tidak mencatatkan prestasi baik.
  4. 14 peratus langsung tidak mencatatkan sebarang perubahan selepas penggabungan.
  5. Mempunyai rakan kongsi yang silap adalah pergabungan paling buruk.
  6. Jangan sesekali menggabungkan syarikat yang menghadapi masalah.
  7. Selesaikan masalah terlebih dahulu, kemudian barulah bergabung dengan syarikat kukuh.



 

p/s: Malaysia melaksanakan trend penggabungan dan sehingga ke hari ini ianya dilihat sebagai trend yang positif. Lihat sahaja institusi perbankan dan perladangan yang digabungkan menjadi sebuah syarikat mega dalam industri masing-masing. Laporan kewangan sentiasa mendapat laba berjuta ringgit..(alhamdulillah, moga diinfaqkan ke jalan yang benar). Bijak, bijak..


 

Kes 2.

KADAR pengangguran di Malaysia pada tahun depan (..hanya beberapa hari sahaja lagi) dijangka meningkat daripada 3.5 peratus kepada 4.5 peratus. Puncanya ialah kelembapan ekonomi global yang semakin membesar umpama kanser yang merebak. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER). Pengarah Eksekutifnya, Professor Emeritus Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, berkata dalam suku ketiga tahun ini, rakyat Malaysia yang menganggur berjumlah 12,000 orang.

Perkara ini dinyatakan pada majlis dialog dengan Professor Robert Engle, yang memenangi Hadiah Nobel bagi ekonomi pada 2003. Engle berkata Malaysia mungkin menghadapi tempoh yang sukar seperti juga ekonomi-ekonomi lain di Asia. "Kita harap China akan dapat bertahan. Jika China juga bergelut (dengan krisis ekonomi semasa), ekonomi-ekonomi lain di Asia turut akan berdepan dengan tempoh yang sukar," tegasnya.

p/s : Kita bergantung harap pada negara China, tetapi bagaimana? Perkara paling mudah belilah produk buatan China. Umpamanya kenderaan MPV Cherry berharga RM 86,000.00++, kuasa enjin 2.4 C.C buatan Mitsubishi..(bukan promot dengan sengaja). Apa lagi ye barang buatan China agar ekonomi kita tidak lumpuh?

Istilah penganggur adakah mereka yang dikatakan : (A) tidak bekerja, (B) bekerja tanpa gaji setimpal, (C) sudah diberhentikan majikan tanpa sebab, (D) bekerja ala kadar

10 December 2008

Hujan, Bukit dan Hari Raya


BULAN Disember 2008 penuh kisah manusia. Hujan di seluruh negara menjadi musibah kerana banyak barang berharga dan rumah terpaksa dihanyutkan air. Nyawa manusia pun ada. Hujan bagi penoreh getah bermakna terpaksa duduk di rumah sambil melihat awan bila akan cerah, meskipun harga getah menurun jauh lebih rendah dari harga sekilo beras tetapi duit belanja perlu dicari juga. Soalnya, siapa yang menentukan harga getah di pasaran?

Bukit antara yang menjadi tumpuan kerana mempunyai pemandangan indah, aktiviti mendaki sebagai tempat menguji ketahanan fizikal kini juga merupakan musibah. Meskipun namanya diberi begitu gah seperti Bukit Antarabangsa dan Bukit Mewah tetapi hari ini bukit itu hanya mengundang musibah. Apatah lagi mungkin harga hartanah sudah tidak lagi semewah namanya lagi. Mungkin kalau dilelong juga harga tidak naik kerana siapa yang berani mendiami rumah di atas, bawah atau cerun bukit selepas ini..(mungkin berumah di tepi laut lebih selamat agaknya). Soalnya, siapa yang meluluskan pembinaan, mengapa pula ramai yang membeli? (selepas ini para peguam akan kerja lebih sebab isu tuntut pampasan dah semakin meningkat macam bukit juga?

Hari Raya Eidul Adha tetap meriah kerana adanya aktiviti sembelihan binatang korban. Apatah lagi harga sekilo dagingnya merupakan makanan mewah bagi yang terpaksa makan sekadar kenyang saja. Agihan daging korban harapnya menjadi tali persaudaraan umat Islam, yang masih dikenali sebagai umat termiskin, tertindas dan ada juga terbabas dek masalah sosial..(terganas pun ada bila nama Osama, al-Qaeda, Taliban dan terbaru di Mumbai dikaitkan dengan umat Islam). Soalnya, adakah berkorban sebagai pengganas juga dilihat sebagai jihad fi sabilillah ?

p/s Gambar bulan tersenyum..Masya Allah, Subhana Allah.

02 December 2008

Ungku Aziz profesor kain sarung?


SIAPA tidak kenal dengan Pak Ungku Aziz (Profesor DiRaja Ungku Aziz), penerima Anugerah Merdeka 2008 bagi Kategori Pendidikan dan Komuniti yang banyak mengkaji tentang kemiskinan di kalangan Melayu. Pernah digelar sebagai Profesor Kain Sarung (mengukur kemiskinan dengan menggunakan indeks kain sarung yang mampu dimiliki oleh si Miskin).

Bermula di Ulu Tiram pada tahun 1963, sehingga ke hari ini, beliau sudah membuat kajian kemiskinan di seluruh negeri mendapati signifikan 2M (Melayu + Miskin).

Hasil kajiannya mendapati:

  1. Melayu bernasib baik jika dapat makan nasi sekali sehari.
  2. Lempeng makanan ruji Melayu.
  3. Penduduk Pantai Timur lebih dahsyat kerana ada kes kebuluran.
  4. Menoreh getah pekerjaan utama si Miskin.
  5. Makanan mempengaruhi tumbesaran penduduk.
  6. Si Miskin terdedah kepada kekurangan zat makanan.
  7. 95 peratus mangsa banjir ialah Melayu..(kerana tinggal di kawasan yang berisiko).

Hari ini harga minyak sentiasa dilaporkan akan turun serendah-rendahnya kerana memang itulah yang kita nanti-nantikan. Tetapi tahukah kita bahananya harga minyak turun ketika kini?

Harga kelapa sawit dan getah juga turun serendah mungkin sehingga menjadikan orang Melayu yang mendominasi peneroka dan penoreh sudah tidak boleh menampung kehidupan harian. Hipotesis saya-harga minyak turun menjadikan Melayu Makin Miskin. Mungkin 3M lebih tepat (Minyak+Melayu=Miskin).