18 October 2009

Melayu dan Islam-Transformasi UMNO


RAMAI yang mempertikaikan mengenai istimewanya Melayu dan Islam di Malaysia. Ramai juga yang mengungkit bahawa Islam itu bukan Melayu dan Melayu itu bukan Islam semutlaknya. Betapa ramainya tidak mengetahui betapa istimewanya dua perkataan itu seperti mana yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan (yang dianggap sekular oleh mereka yang menganggap mereka lebih Islamik). Entry kali ini saya mengajak kita semua merenung kembali betapa kita hanya ingin memonopoli perjuangan atas nama Islam, tanpa menyedari jasa-jasa UMNO yang hebat tetapi masih belum dapat memuaskan hati semua umat Islam. Akibatnya, Melayu dikuasai oleh bangsa lain dalam aspek ekonomi negara. Anehnya ramai Melayu yang tunduk hormat kepada bangsa lain tetapi mengapa bangsa sendiri dihina dan dipandang rendah?

Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dimulakan dengan Firman Allah SWT, dalam surah As-Saff ayat yang ke-4:

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu 'bun-ya-nun-marsus' yakni bangunan yang tersusun kukuh."
Kemudiannya pesan daripada Saidina Ali bahawasanya :
"Sesuatu yang benar dan hak namun tidak tersusun akan dikalahkan oleh yang batil dan salah, tetapi diatur dengan tersusun."

Ini memberi isyarat besar bahawa perjuangan UMNO tidak boleh lari daripada panduan Al-Quran, Sunnah dan mengikuti contoh terbaik daripada para sahabat Rasulullah SAW. Berkiblatkan Islam sebagai dasar utama yang tidak menggunakan Islam untuk parti tetapi Islam adalah matlamatnya.

Dalam Persidangan Agung UMNO ke 60 yang lalu, kerajaan juga berikrar akan terus memperjuangkan pendidikan Islam. "Kerajaan akan terus memantapkan pendidikan Islam dengan memperluaskan program Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain (j-QAF) manakala Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) dijadikan sebahagian program sepanjang hayat. Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan juga akan meningkatkan kegiatan dakwah Islamiah selain terus memperkasakan tulisan jawi terutama di sekolah-sekolah."

Beliau berkata, ini kerana kerajaan berpendirian pendidikan agama merupakan asas pembinaan akhlak, sahsiah dan jati diri anak-anak.

Najib juga mengumpamakan bahawa orang gila juga mempunyai sifat untuk tidak memahami situasi sebenar dengan fakta yang kukuh.

Katanya Gila ada pelbagai jenis gila. Kata orang bila seseorang itu bercakap sendirian, belum lagi dianggap gila. Bila dia mula berceloteh sendiri, dan kemudian menjawab balik kepada dirinya sendiri, itu namanya separuh gila. Peringkat kedua, bila dia membebel dan mengomel sendiri, kemudian menjawab balik dan percaya pula pada yang dia jawab kembali itu, tandanya memang dah sah lah dia gila.

"Satu lagi jenis gila, adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam melaksanakan sesuatu dasar misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau "outcome''.

Najib berkata "janganlah kerana kemarau sehari, rezeki hujan yang setahun sudah dilupakan",

"Faktanya, secara sedar atau tidak, sudah banyak yang pihak kerajaan lakukan demi kesejahteraan hidup rakyat. Misalnya, di bawah sektor pengangkutan dan tenaga, kerajaan telahpun menyediakan subsidi sebanyak RM9 bilion untuk petrol, LPG dan diesel; RM2 bilion untuk program rebet tunai, lebih RM600 juta untuk pampasan tol; RM150 juta untuk kadar elektrik dan RM45 juta lagi untuk pengangkutan udara luar bandar serta rel pantai timur."

Di akhir kalamnya, Najib menutup dengan bait-bait janji dan azamnya:

Kendati tergantung awan di langit,
Telah terlanjur kubentangkan layar,
Walau badai datang menggulung,
Walau berdentum guruh di langit,
Walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku berbalik haluan.

Hidup UMNO! Hidup Melayu!

Seperti kata Najib-bukan mudah untuk mengubah pemikiran manusia. Saya secara peribadi melihat gelombang perubahan akan terus memartabatkan Melayu dan Islam. Yang perlu hanyalah mensyukuri dan terus berusaha dengan sebaik mungkin untuk memperbaiki kehidupan kita sendiri.