12 December 2009

Apa perlunya tauliah...?

SEMEMANGNYA apabila ramai pihak yang ingin berdakwah meskipun dengan apa niat dan matlamat mereka adalah sangat murni sifatnya. Begitu juga apabila wujudnya pihak bertanggungjawab dalam hal ehwal Agama Islam di Malaysia ( ditujukan kepada setiap Majlis Agama Islam negeri-negeri) yang menjadikan tauliah sebagai syarat dan keizinan untuk berdakwah juga berniat baik. Jadi di sini apa masalahnya? Pihak yang ingin menjalankan tugas-tugas dakwah adalah baik, yang menjaga hal ehwal Islam juga baik. Tetapi mengapa isu tauliah perlu dijadikan polemik dan pokok persoalan? Mengajar agama adalah antara sebahagian daripada sunnah dan dakwah Rasulullah SAW, begitu juga menjaga hal ehwal urusan agama adalah salah satu daripada sunnah dan kewajipan pemerintah yang perlu dilaksanakan.

KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan pihak yang ingin berdakwah dan mengajar agama di negeri itu perlu mendapatkan tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi memastikan dakwah yang disampaikan betul dan mengelakkan pengembangan ajaran sesat.

Baginda bertitah tauliah daripada Mais adalah salah satu cara untuk memastikan perpaduan ummah yang kukuh di negeri itu tidak dirosakkan melalui dakwah fahaman yang berpuak-puak dan juga dakwah atau pengajaran mengelirukan yang boleh memecah belahkan kesatuan umat Islam di Selangor.

"Jawatankuasa Tauliah Mais telah menguatkuasakan kaedah-kaedah tauliah yang diberi di bawah Seksyen 118 (4) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang memperuntukkan penalti bagi kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah." http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Mutakhir/20091211144938/Article/

Andainya Sultan Selangor bertitah sedemikian rupa menjelaskan maksud dan tujuan tauliah, pastinya kita sendiri sudah berupaya untuk merubah minda yang tertutup selama ini. Jika tauliah ini digembar gemburkan sebagai bid’ah, maka apakah Sultan juga telah melakukan bid’ah? Jika tauliah ini dimomokkan sebagai aksi dan pengaruh daripada penjajah, maka adakah Sultan itu penjajah juga sifatnya? Jika tauliah ini satu label lapuk yang perlu dimansuhkan, maka apakah sultan itu sebenarnya sudah lapuk dan perlu dimansuhkan juga? Jika tauliah ini menyekat pengambangan Agama Islam maka apakah Sultan itu penyekat(?).

Bukankah ada pengecualian kepada orang tertentu yang diberikan melalui enakmen pentadbiran agama Islam berhubung tauliah ini. Sebagai contoh-seorang ayah mengajar agama Islam kepada anaknya dan di dalam kediamannya sudah pun dikecualikan tidak perlu tauliah. Begitu mudah untuk memahami isu tauliah jika minda kita berubah dan terbuka.

Mungkin tajuk entry kali ini perlu diubah kepada “Apa salahnya tauliah?”

1 comment:

afiq said...

Salam...

Seharusnya sebagai seorang yang berpendidikan tinggi perlu faham, setiap keperluan ada syaratnya. Ia bukanlah merupakan hak milik setiap orang. Setiap daripada kita sedar, setiap masyarakat mempunyai peraturan dan norma yang dipersetujui bersama...

Contohnya, dari segi fizikalnya kita mempunyai wang untuk membeli kenderaan tertentu. Walau bagaimanapun, kita yang mampu membeli kenderaan tersebut masih belum boleh memandunya kerana tidak mempunyai lesen yang sah. Apakah langkah mensyaratkan lesen sebagai syarat memandu merupakan suatu praktis yang salah dan keterlaluan? Cuba difikirkan kebaikannya...

Namun...
dalam dunia yang terbuka, biarlah setiap pihak memasarkan pemikiran mereka secara ilmiah dan adil. Masyarakat sudah matang, biar mereka menilai. Selagi pemikiran itu tidak menghina Allah dan Rasul-Nya, biarlah ilmu bersaing dengan ilmu. Bukan ilmu bersaing dengan kuasa, tetapi bersaing dengan hujah...

Adakah itu agak molek...?

Sekadar pendapat...
Wallahua'lam...