30 October 2008
Uniknya Sistem Kewangan Islam
Rahisam Ramli
[POST tambahan- Kini di Pasaran Modal Islam di Malaysia mempunyai sebanyak 843 sekuriti atau 85.5% berbanding dengan keseluruhan sekuriti. Kesemua jumlah modal ialah RM 627.84bilion berbanding keseluruhan RM 971.28bil atau sebanyak 64%. Boleh rujuk di laman web Bursa Malaysia.
Selain itu kita juga penerbit bon Islam terbesar dunia $USD 300 bilion atau 70% keseluruhan bon global].
KETIKA ini krisis kewangan global yang sedang merebak dan meranapkan institusi kewangan negara yang berasaskan sistem konvensional. Namun begitu kita masih mempunyai alternatif yang unik, kadangkala sukar untuk menerima kenyataan bahawa sistem kewangan Islam (SKI) seharusnya telah berupaya untuk mendominasi pasaran kewangan dunia.
Platform SKI untuk mengembangkan produk telah terbentang luas tetapi masih banyak cabaran yang harus dilalui. Ianya lebih menjurus kepada "keyakinan" pelanggan untuk menerima SKI dalam segala urusan perdagangan.
Sekalipun banyak institusi kewangan di AS menjadi muflis tetapi kita masih tertanya-tanya adakah kita mampu mendominasi kewangan dunia dengan berbekalkan kepakaran ekonomi dan kewangan Islam?
Persoalan lain adakah operasi syarikat yang berasaskan pinjaman riba, judi dan syarikat yang satusnya tidak mematuhi syariah akan menukar operasi mereka semata-mata ingin menamatkan krisis tersebut?
Ini bermakna untuk menerajui kewangan dunia berlandaskan SKI memerlukan tapisan sebelum mengambil alih institusi kewangan yang berlandaskan konvensional. Pendokong sistem riba tidak akan beralih arah kepada SKI kerana matlamat mereka adalah memenuhi kantung mereka dengan prinsip nafsu, bukan prinsip wahyu.
Manakala pendokong SKI pula perlu memperhebatkan promosi produk-produk terbaru untuk ditawarkan kepada pelanggan mereka kerana inilah masa yang tepat meyakinkan orang ramai yang mencari-cari tempat pelaburan sebelum nilainya semakin susut.
Kita memiliki minyak-senjata utama penentuan harga minyak dunia, wang dinar emas dan dirham perak juga merupakan warisan yang diketahui lebih stabil berbanding nilai wang kertas. Produk-produk SKI turut berkembang biak ke premis-premis perniagaan meskipun belum diterima secara menyeluruh.
Memetik laporan Berita Harian online,antaranya melaporkan bahawa
"SISTEM kewangan berlandaskan Syariah yang pesat berkembang akan menerima suntikan besar sebagai alternatif kepada kapitalisme di tengah-tengah tekanan kredit dan krisis perbankan, mengikut jangkaan pakar akademi Islam.
Sistem yang dianggarkan bernilai AS$300 bilion dan berkembang pada kadar 15 peratus setahun, itu mengharamkan levi atau bayaran faedah, sebaliknya menggunakan pembahagian keuntungan serta perkongsian pemilikan.
Kecairan ekonomi global menunjukkan ‘perlunya satu perubahan struktur dan radikal sistem kewangan global’.
Sistem berasaskan prinsip Islam itu menawarkan satu alternatif yang mampu mengurangkan risiko, kata Ketua Kajian Teologi di Doha University, Hatem al-Naqrashawi kepada AFP.
“Bank Islam tidak membeli kredit tetapi menguruskan aset yang konkrit, yang melindungi mereka daripada kesukaran yang dihadapi bank Amerika dan Eropah,” jelas Pengarah Urusan Qatar International Islamic Bank, Abdel Bassat al-Shibi.
Kewangan Islam berbeza daripada kapitalisme dalam dua perkara utama. Ia mengharamkan pinjaman yang menanggung faedah - dilihat sebagai riba iaitu amalan diharamkan dalam Islam dan juga mengharamkan spekulasi.
Sebaliknya, ia menyokong perkongsian risiko antara bank dan juga pelanggan.
Produk patuh Syariah termasuk Ijara, iaitu satu cara membeli rumah menerusi pajakan dan pemilikan susulan, berbanding menerusi gadai janji.
Produk lain termasuk Musharaka, perkongsian untung dan rugi dan Murabaha, yang mana penjual mengisytiharkan margin keuntungan yang diperoleh menerusi penjualan komoditi.
Murabaha dilihat sebagai cara untuk membolehkan pembeli mengelak mengambil pinjaman menanggung faedah, walaupun beberapa ahli akademik Islam mengatakannya hampir sama dengan mengenakan riba atau faedah.
Sepanjang tiga dekad lalu, bilangan institusi kewangan Islam meningkat melebihi 300 yang berkembang di 75 negara dengan jumlah aset keseluruhannya kira-kira AS$300 bilion dan berkembang pada kadar 15 peratus setahun, menurut satu kajian.
“Keruntuhan kapitalisme berasaskan riba dan bukan menggunakan dagangan barang di pasaran adalah bukti ia dalam krisis serta menunjukkan falsafah ekonomi Islam mampu bertahan,” kata ulama terkenal, Sheikh Yussef al-Qaradawi dalam satu persidangan di Doha, baru-baru ini.
“Kita memiliki semua kekayaan, negara Islam memiliki hampir semua minyak dan kita memiliki falsafah ekonomi yang tidak dimiliki oleh sesiapa,” katanya, merujuk kepada fakta bahawa negara Islam yang diketuai Arab Saudi memiliki sebahagian besar simpanan minyak mentah dunia.
Ulama berpengaruh Arab Saudi, Suleiman al-Audah, menggesa sidang puncak Islam antarabangsa diadakan untuk menjelaskan rangka kerja dan platform alternatif ekonomi Islam". – AFP
p/s Kadang kala ada premis perniagaan yang tidak menerima penggunaan kad kredit BANK ISLAM untuk membuat transaksi pembelian barang. Mereka bertanya saya ada tak kad kredit lain? Maknanya kad kredit SKI ini seolah-olah telah disekat penggunaannya oleh premis-premis perniagaan. Mereka memberi alasan kad kredit Bank Islam tidak ada "link" dengan mereka. Pelik..ada masalah link atau sengaja tidak dilink kan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
11 comments:
Benarkah ada urus niaga Kad BIMB tak diterima? Saya guna, elok je.
Tapi saya setuju bahawa Islam sudah menyediakan alternatif untuk keluar daripada krisis ekonomi dunia sekarang. Malangnya, pembuat dasar ekonomi masih berpaksi kepada teori laissez faire dan kapitalisme moden.
Di Malaysia pun, saya terfikir juga mengapa kerana tidak mengharamkan riba? Kerajaan melalui Bank Negara boleh mengeluarkan peraturan terhadap bank-bank perdagangan.
Urus niaga kita terlalu bersandar kepada nilai dollar AS. Apabila dollar AS jatuh, kita terpaksa menerima akibatnya.
Itulah sebabnya Dinar emas pernah dicadangkan sebagai sandaran utama ekonomi negara Islam, tapi cadangan itu dipandang 'sepi'...
Brahimnyior-memang ada premis perniagaan minta saya sendiri tukar kad lain, kalau guna BIMB juga ada cja tambahan yang dikenakan pada saya.
Dinar emas telah pun digesa dtgnya dari idea Tun Dr Mahathir, tetapi kesepakatan dalam pemakaiannya melibatkan negera-negara dan produk tertentu sahaja.
Ekonomi dunia bergantung kepada AS kerana mereka pengguna/pembeli terbesar produk tempatan.
Riba memang haram itu semua diakui,kenapa kerajaan tidak mengharamkan terus?
Kebebasan perdagangan dengan membuka transaksi ini sebahagian daripada prinsip give n take..Pengharaman secara total mengundang kerugian dari kos melepas.
Dalam masa yang sama kerajaan menggalakkan transaksi tanpa riba, pilihan masih di tangan pengguna sendiri untuk menggunapakai sistem kewangan mereka.
Saya pernah ditawarkan dengan kad kredit Citibank, Eonbank dan lain-lain, tapi Kad BIMB tetap pilihan saya, dan ia satu-satunya kad kredit yang saya guna, untuk waktu terdesak sahaja.
Sebabnya? Saya puas hati dengan urus niaga melalui kad ini.
Kalau saya diminta tukar ke kad lain, saya rela tak beli barang tersebut..
Hairan kenapa kad bank yg berkaitan dengan institusi Islam tidak diterima...
Adakah sistem kewangan kita mmg berbentuk kapitalis sedangkn kita sering melaungkan "ingin menjadi sebuah negara Islam"?
Wallahua'lam...
Alamat Blog PERSIDA, KDIAM :
www.persidakdiam.blogspot.com
maaf agak lambat send kpd ustaz..
Wassalam..
Afiq-terima kasih. sekurang-kurangnya ( perkataan ini lebih baik daripada tak de langsung) Malaysia menjadi antara negara aktif dalam kewangan Islam.
akhirnya juga bank konvensional juga berminat menawarkan produk Islam di dalam perbankan.
Walaupun minat mereka kepada margin untung semata-mata, tetapi kita tidak kurang hebatnya.
salam ustaz.. kerajaan perlu menghapuskan semua bank yang mengamalkan riba..
sepatutnya pengamalan konsep islam yang sebenar perlu diambil oleh kerajaan dan menguatkuasakan konsep tersebut dengan undang-undang serta memastikan semua insitusi perbankan mematuhinya..
merujuk frasa iqbal yg berbunyi "kerajaan perlu menghapuskan semua bank yang mengamalkan riba"
Adakah semua bank di negara kita yg tercinta ini mengamalkan riba'
Jika ada... bagaimana unsur2 yg kita boleh kategorikannya sebagai riba'?
Sbb ana lihat pihak bank pada zaman skrg semakin licik mengenalkan skim sehingga ada yg tidak sedar akan unsur riba' di dlmnya...
Salam Afiq dan Iqbal- di Malaysia Bursa saham yang patuh syariah lebih 85% mewakili yang halal.
Pengharaman riba diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, kerajaan masih benarkan bank konvensional kerana inin merupakan dasar pasaran terbuka yang juga ada manfaat untuk kita pasarkan produk ke negara-negara yang bukan Islam.
Tetapi kita bersyukur kerana di Bursa Malaysia sahaja saham yang halal lebih 85% berbanding yang haram. So kita tak perlu gusar kerana pilihan banyak yang lebih halal.
Ianya berbalik kepada keyakinan dan desakan peringkat bawahan untuk memperluaskan institusi bank tanpa riba. Maybank antaranya sebuah GLC terbesar kerajaan, manfaat kepada bumiputera/Islam juga.
Saya setuju jika kerajaan haramkan terus bank riba ni, tetapi adakah bank-bank Islam bersedia ambil alih(beli) bank konvensional ni?
Saudara Rahisam. Saya juga musykil adakah kita mampu menggunakan SKI sepenuhnya jika pinjaman bank-bank dari Bank Negara Malaysia masih mengamalkan sistem konvensional.
Asas kejayaan SKI pada hari ini banyak dipengaruhi keyakinan pelanggan untuk menggunakan produk ini.
BNM sebagai badan kawalselia juga saya rasa tertakluk kepada peraturan kewangan antarabangsa yang menjadikan bank konvensional terus bertapak di Malaysia.
Namun BNM menggandakan usaha sama-sama ke arah menjadikan Malysia sebagai hab kewangan Islam.Beruntung kita sebenarnya...
Post a Comment