22 October 2008

Kisah politik wang


Rahisam Ramli

SEMUA Bahagian UMNO sedang rancak bersidang untuk membuat keputusan pemilihan jawatan kepimpinan dalam parti. Dalam masa yang sama kisah politik wang tidak dapat lari daripada aksi ketika pemilihan sedang dilakukan di semua peringkat. Ramai yang mengatakan apabila nak berkempen tidak boleh tidak mesti ada duit.

Jumpa perwakilan nak disuap dulu kalau tak orang lain menyuap ke mulut mereka. Yang menerima suapan pun apa lagi mereka sapu belasah tak kira itu rasuah ke politik wang ke asalkan duit masuk ke dalam kantung. Halal dan haram sudah tiada beza kerana rezeki datang bergolek takkan nak ditolak, siapa yang bagi tak kisahlah sebab itu bersedekah.

Utusan Malaysia, 21 Oktober antara lain melaporkan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata politik wang masih berleluasa.

Di samping itu, Rais berkata, amalan politik wang masih berleluasa pada persidangan perwakilan bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara.
‘‘Jika amalan itu tidak dibendung ia boleh menjejaskan imej UMNO sebagai parti politik terbesar di Malaysia,’’ jelasnya.

Bagi menangani masalah itu, kata beliau, Akta Suruhanjaya Antirasuah yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hujung tahun ini diharap dapat membendung gejala itu daripada terus berlaku.

‘‘Jika amalan politik wang tidak dibendung, UMNO boleh musnah dan berkubur,’’ katanya

Ini disahkan lagi Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beberapa pemimpin UMNO yang terlibat dalam pemilihan di peringkat bahagian akan dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti itu kerana terbabit dalam politik wang.

Timbalan Perdana Menteri ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya mencadangkan supaya tindakan tersebut diambil sebelum pemimpin terbabit terlibat dalam pemilihan bahagian mereka.

"Memang ada politik wang (dalam pemilihan bahagian) dan ada pemimpin yang akan disabitkan oleh Lembaga Disiplin UMNO, katanya.

Soalnya benarkah poltik wang ini memang menjadi realiti dalam pemilihan jawatan parti atau sememangnya ia sebahagian asam garam dan rencah berpolitik? Haram dan halal adalah dua perkara yang mempunyai garisan sempadan yang cukup jelas jika dilihat dengan kaca mata ilmu, bukannya kaca mata hawa nafsu.

Umpama mendidik anak-anak kita tidak boleh kata “JANGAN” terlalu kerap sebab perkataan itu seolah-olah dimanipulasikan menjadi motivasi “BUATLAH” sebab itu semakin dilarang semakin menjadi-jadi. Bila dah terhantuk baru terngadah..(belum terhantuk takkanlah terngadah dulu, itu gila namanya).

Harapan.

Benarkah dalam berpolitik mesti menabur wang untuk menang dalam pertandingan merebut jawatan? Katakan “TIDAK” supaya kita mengamalkan gaya politik yang sihat, bebas rasuah dan bertanding kerana kredibiliti bukan kerana bangga diri. Semoga kita terus berdoa dan menjauhkan diri menjadi penabur wang dalam berpolitik,elakkan menerima suapan kerana berpegang pada prinsip Islam yang teguh. Islam tidak boleh dijualbeli, iman tidak diwarisi.

(Posting tambahan)Agaknya apakah gejala ini terlalu licik dan beban pembuktian bagi pihak pendakwa sudah tidak relevan? Jika YA maka kita perlu mencadangkan alternatif lain agar gejala ini tidak menjadi simbol ketamakan dan kerakusan nafsu oleh calon-calon yang mahu menduduki kerusi-kerusi UMNO.
Berita Harian 22 Oktober antara lain melaporkan Datuk Seri Dr Rais Yatim yang jelek dengan gejala politik wang dalam parti, semalam secara sinis mencadangkan semua jawatan tertinggi parti dipertandingkan secara tender dengan pembida tertinggi dipilih sebagai pemenang. sukar untuk beliau membuat laporan mengenai salah laku pihak yang memintanya memberi imbuhan bagi mendapatkan sokongan pada pemilihan jawatan tertinggi Umno pada Mac depan berikutan kesukaran untuk mengemukakan bukti.

Katanya, sistem pembuktian terlalu rumit dan pihak yang membuat angkara amat licik memanipulasi sistem itu sehingga menjadikannya sukar dibuktikan di mahkamah walaupun perkara itu berlaku secara berleluasa.

Beliau yang masih belum melepasi kuota 20 pencalonan, berkata wang bidaan untuk semua jawatan itu pula boleh digunakan parti untuk tujuan lain yang difikirkan perlu.

"Sesiapa yang mempunyai banyak duit bolehlah membuat bidaan. Maka kita dalam Umno akan jadi bahan ketawa masyarakat umum," katanya.

Sudah tiba masanya penerima imbuhan perlu berani menampilkan diri agar UMNO bukanlah menjadi barang longgokan yang dipilih-pilih kerana sudah tidak ada ketulenannya lagi.

3 comments:

Brahim Nyior said...

Salam Rahisam,

Saya minat ikut perkembangan politik negara. Secara peribadi, saya berpendapat dalam UMNO memang politik wang berlaku. Arwah ayah saya seorang Perwakilan di Lumut ketika hayatnya, pernah ditawarkan wang pada pemilihan UMNO 90-an.

Hal ini rupanya berlanjutan hingga kini.

Pok Li said...

Saya baru balik dari jamuan rumah terbuka hari raya. Cerita politik wang ini semacam terbuka. Seorang perwakilan ke mesyuarat bahagian membisikan ke telinga saya bahawa nak dapatkan RM500 ke RM1,000 sehari dalam waktu terdekat ini amat mudah.

RAHISAM RAMLI said...

Salam brahimnyior-sedih rasanya apabila perjuangan boleh dijualbeli atau tawar menawar.

pok li-pengalaman saudara ketika berhari raya menjadikan kita insaf.APakah sambutan rumah terbuka benar-benar menyucikan fitrah manusia.Moga dijauhkan Allah segala bencana akibat politik wang.