Ramadhan & Kemerdekaan: Rebut peluang amal ibadat dengan mencontohi akhlak Rasulullah SAW sebagai tanda kesyukuran.
Oleh RAHISAM RAMLI
PADA bulan ini terdapat 2 sambutan yang penuh dengan keberkatan dan nikmat Allah SWT. Pertama kerana bersempena dengan kedatangan bulan Ramadhan al-mubarak. Inilah waktunya untuk kita semua mengambil peluang selagi nafas kita masih berupaya untuk menikmati kehidupan yang penuh dengan segala cabaran. Di sana-sini sambutan Ramadhan diserikan dengan solat Tarawih, majlis tadarus al-Quran dan aktiviti berbuka dan bersahur di seluruh masjid dan surau. Bukan itu sahaja, bagi para peniaga tentunya kemeriahan bulan Ramadhan ini memberi peluang kepada mereka untuk meningkatkan pendapatan dengan membuka gerai-gerai di bazar Ramadhan.
Keduanya pada bulan ini juga kita akan menyambut hari kemerdekaan negara yang tercinta untuk kali ke 52. Alhamdulillah, kemerdekaan negara tidak sama seperti negara-negara lain yang sedang bergolak dengan pelbagai kerenah rakyat mereka sendiri. Sekadar contoh di negara jiran masih bergolak dengan pemilihan pemimpin tertinggi mereka meskipun sudah silih bertukar ganti dengan pilihan hati mereka sendiri. Tetapi kepuasan masih belum dapat diharapkan kerana demokrasi di negara mereka sudah dicemari dengan demonstrasi yang saban hari menuntut pemimpin mereka meletak jawatan.
Persoalannya apakah kita benar-benar menghayati sambutan Ramadhan dan kemerdekaan negara atau hanya sekadar melihat hari-hari berlalu tanpa mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di persekitaran kita?
Adakah terlalu sukar bagi kita semua yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk menjadikan seluruh hidup kita berpaksikan ajaran Islam? Jadikanlah Rasulullah SAW sebagai ikon, role model atau inspirasi bagi membina kejayaan demi kejayaan. Segala kejayaan-kejayaan yang dicipta oleh Baginda SAW bukanlah dengan jalan singkat dan mudah. Tidak juga semata-mata menadah tangan memohon pertolongan daripada Allah SWT tanpa sebarang usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh. Sepanjang perjalanan hidup Rasulullah SAW sehinggalah tarikh kewafatan Baginda senantiasa dipenuhi dengan dugaan dari pelbagai sudut terutama dari kalangan kafir Quraisy yang tidak jemu menghalang dakwah Baginda SAW.
Namun begitu, oleh kerana sifat karisma yang tertanam di dalam diri Rasulullah SAW menjadikan segala halangan untuk menghentikan perjuangan murni tidak kesampaian. Semakin kuat disogok dengan pelbagai tawaran rasuah dan material semakin kuat pula benteng pertahanan diri Rasulullah SAW untuk menentang perbuatan keji
Bermula daripada hanya sebuah agama kecil akhirnya berkembang menjadi sebuah agama yang terbesar dunia. Daripada kelompok minoriti yang lemah dan sedikit bilangannya berubah menjadi golongan majoriti yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Daripada umat yang lemah dan dihina oleh golongan kafir tetapi berjaya merubah untuk menjadi umat terbilang yang penuh dengan penciptaan ketamadunan. Daripada bangsa yang jahil dan zalim akhirnya menjadi satu bangsa yang berilmu dan beradab mulia. Itulah karisma kepimpinan Baginda SAW yang sewajarnya dihayati dan dicontohi oleh umat Islam pada hari ini untuk meneruskan legasi perjuangan dakwah Islamiah.
Ini dapat dibuktikan dengan dalil daripada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: "Dan ketika kaum kafir merancang untuk memenjarakan engkau, membunuh engkau atau mengusir engkau – mereka merancang dan Allah juga merancang. Dan Allah adalah sebaik-baik perancang." (Al-Anfaal:30)
Ayat tersebut antara lain menjadi kata perangsang kepada Nabi s.a.w. dan umat Islam agar senantiasa bersedia dengan sebarang ancaman golongan musuh-musuh Islam kerana Allah s.w.t. mengatasi segala perlakuan mereka. Namun begitu asas pertolongan Allah bukan diberikan dengan percuma, tanpa usaha dan ikhtiar yang bijak tetapi disertai dengan tahap keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. yang cukup tinggi nilainya.
Ketika umat Islam dilanda dengan pelbagai konflik dari sudut kepimpinan tanah air dan cengkaman kemiskinan yang sangat kompleks, kita memerlukan satu anjakan untuk turut serta menggembleng tenaga meningkatkan ilmu kepimpinan. Prinsip perjuangan Rasulullah SAW ialah menggunakan politik untuk berdakwah, bukannya politik untuk menhapuskan dakwah apatah lagi mengkucar kacirkan ketenteraman awam.
Baginda SAW turut menjadikan agenda perpaduan mengatasi daripada menghuru harakan perhubungan sesama Islam dan juga kepada bukan Islam. Mengeratkan hubungan sesama rakyat yang merentasi sempadan geografi menunjukkan pentingnya mewujudkan keamanan demi menjaga kepentingan Agama Islam sendiri.
Ingatlah bahawasanya Allah s.w.t. telah berfirman di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".
Daripada dalil di atas dapatlah difahami bahawa amalan bermuafakat, berkongsi kuasa dan menanam sikap toleransi bukan sekadar sebagai nilai tambah terhadap kelangsungan umat Islam untuk meneruskan syiar Islam, malahan ia boleh dikatakan menjadi pra-syarat kepada keberkesanan dakwah Islamiah ke seluruh pelosok dunia. Kepelbagaian kaum, anutan agama dan perbezaan pandangan tidak wajar dijadikan alasan untuk mencetuskan bibit permusuhan sehingga boleh merugikan seluruh bangsa.
Kini, janganlah hanya sekadar beretorik dan berbangga dengan pencapaian keunggulan Islam yang telah tercipta pada zaman lampau tanpa ada sebarang usaha dan langkah drastik terutama dalam menghadapi kegawatan ekonomi global pada masa kini. Malah kita harus bertanya apakah kita sekarang benar-benar dapat memastikan keunggulan Islam dinikmati untuk generasi akan datang dengan pencapaian kita selama ini?
Semua keadaan yang mencabar sangat menuntut kepada mencontohi idealisme perjuangan yang mengutamakan perpaduan dan menjauhi pertelingkahan, tuduhan melulu dan membuang perasaan iri hati sesama kita semua. Gantikanlah dengan semangat muhibah, toleransi, keazaman murni dan perilaku yang terbaik melambangkan keunggulan jati diri umat Islam melalui pelbagai bidang seperti pendidikan, penerokaan sains, kepesatan ekonomi negara dan kestabilan politik.
*artikel ini juga telah disumbangkan untuk ruangan bagi Majalah MPM KUIM.
RAHISAM RAMLI ialah Dekan Akademi Pengajian Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Melaka (KUIM).
1 comment:
Salam,
Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin jika ada tersalah silap komen atau dalam sebarang perbincangan online. Semoga berjaya di dunia dan di juga akhirat.
Post a Comment