12 September 2008

Melayu makin Serabut, Islam tempat berpaut



Kekuatan Melayu hanya pada Islam
Oleh RAHISAM RAMLI

ISU desakan supaya Datuk Ahmad Ismail memohon maaf dilihat tidak ada kesudahan atau penamat yang menggembirakan malahan menjadi semakin serabut.

Dalam kekalutan itu muncul pula desakan di pihak parti Gerakan supaya Barisan Nasional (BN) kembali kepada perjuangan asal, jika tidak parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan induknya.

Isu ini jika tidak diselidiki dengan telus akan memberi keuntungan pada sebelah pihak sahaja manakala Melayu/UMNO akan terus diaibkan.

Mengambil petikan di dalam akhbar Mingguan Malaysia, Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz pensyarah Undang-Undang Universiti Islam UIAM secara terus terang menyifatkan, apa yang terjadi sekarang kerana orang Melayu dilihat lemah.

Jika dari sudut ekonomi sudah ada angka yang menunjukkan bahawa Melayu sudah ketinggalan dalam pemilikan harta dan penguasaan ekonomi tidak sampai 18 peratus.

Ditambah lagi kekusutan selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu apabila BN kehilangan lima buah negeri dan gagal memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat menjadi bukti yang dicanang sebagai kelemahan Melayu/UMNO.

Isu kelemahan integriti dan pembabitan rasuah di peringkat pemimpin dan rakyat turut mendapat perhatian besar. Di kala negara semakin hebat menjalankan kempen antirasuah semakin banyak pula dakwaan rasuah yang membabitkan Melayu juga.

Bagi meleraikan segala keadaan yang hanya membongkar kelemahan Melayu ada baiknya segala tindakan melalui kekuatan ekonomi, politik dan sosial Melayu dimantapkan.

Teras kekuatan Melayu adalah agama Islam. Justeru langkah pertama yang harus dilihat apakah Melayu sudah memastikan kekuatan pegangan agama Islam yang menjadi identiti bangsa Melayu sendiri.

Kekuatan Melayu perlu berpegang teguh dengan Rukun Islam dan Rukun Iman yang menjadi asas pengajaran dalam kehidupan harian.

Tidak kira sama ada sebagai pemimpin atasan atau rakyat bawahan semuanya tertakluk kepada ajaran Islam yang mengutamakan prinsip-prinsip dan pegangan akidah Islam yang benar.

Penghayatan Islam bukan sekadar ucapan bahawa kita beragama Islam dan beriman kepada Allah semata-mata malahan wajar dijadikan sebagai cara hidup dan menjadi panduan kepada peribadi kita sendiri.

Mengabaikan ajaran Islam semata-mata kerana beranggapan bahawa kemewahan duniawi menjurus kepada tingkahlaku yang bertentangan dengan akidah. Jika undang-undang Allah yang sangat lengkap juga diabaikan apatah lagi undang-undang manusia yang tidak dipatuhi kerana alasan yang dangkal akal untuk memikir kesan kepada jiwa manusia. Firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal ang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)" (Surah al-Taubah, ayat 24).

Di samping mencari kemewahan dunia jangan pula dilupakan keuntungan hari akhirat sebagai pengimbang dan kawalan dari dalaman yang lebih banyak menjurus kepada nafsu semata-mata.

Itulah sebabnya kepentingan peribadi seringkali menjadi punca Melayu berbalah sesama sendiri dan peluang ini akan diambil oleh bangsa lain yang menunggu masa untuk mengaibkan kepimpinan negara.

Berpegang teguh kepada ajaran al-Quran dan Sunnah juga bukan sekadar amalan lahiriah semata-mata tetapi sehingga menusuk jauh ke dalam hati agar sentiasa membataskan diri dengan sempadan agar tidak melebihi garisan yang diharamkan.

Meskipun dengan hanya perbuatan cuba mengubahsuai angka-angka berkaitan kewangan agar dikira "halal" dan menjadi pendapatan sampingan sehingga memenuhi hasrat mengambil harta secara batil.

Apakah peringatan ini amat sukar untuk difahami oleh seseorang yang berakal waras. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud:

Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Andainya ingatan ini terus disemadikan ke dalam jiwa umat Islam sudah tentu segala tindakan dan pemikirannya akan menjurus kemurnian akhlak dan sentiasa mengutamakan kecemerlangan dalam setiap aspek. Inilah yang dikatakan pemikiran dinamik kerana datang dari sumber yang tulus lagi bertenaga. Kekuatan Melayu bukanlah dilihat kepada ucapan berapi sehingga memukau orang awam tetapi perlu dinilai juga dengan perlakuan sama ada di tempat kerja atau tempat awam.

Biar sebanyak mana cabaran dan desakan daripada pelbagai sudut dalam menuntut kebangkitan Melayu sewajarnya kita perlu menilai secara makro dan mikro persekitaran yang mencetuskan situasi yang berbaur perkauman.

Rasa hormat dan ketinggian nilai nilai Islam mesti berpaksikan kepada unsur keimanan yang menjadi tunjang kehidupan Melayu Islam sehinggakan ia dirasai oleh semua bangsa lain.

Rasa kagum yang terpancar di mata orang lain juga kerana ketinggian pencapaian ilmu oleh bangsa Melayu. Kita juga sering dikaitkan dengan kedaifan dari aspek keilmuan kerana seringkali memaparkan perbalahan pendapat di kalangan orang Islam.

Disebabkan itulah penghayatan budaya Iqra' (membaca) juga wajar menjadi amalan dan gaya Melayu Islam agar tidak terus dilihat semakin jauh ketinggalan dari bangsa-bangsa lain.

Keunggulan bangsa Melayu tidak lagi boleh dilihat sebagai bahan kajian sejarah semata-mata jika dipandang dari aspek kelemahan, tetapi sangat memerlukan sinergi baru yang berlandaskan ajaran Islam.

Menjaga perlembagaan dan memastikan kelangsungan kuasa politik dan memacu ekonomi akan menjadi hasil yang berjaya andainya kita semua kembali kepada ajaran Islam yang menjadi tonggak dan prinsip hidup.

No comments: