12 September 2008

Turun atau naik kita mesti bersyukur



Bursa Malaysia merudum - Paras terendah dalam lapan tahun
KUALA LUMPUR 11 Sept. - Harga saham di Bursa Malaysia jatuh ke paras terendah lapan tahun berikutan penjualan saham perladangan dan kewangan.

Pada masa yang sama, nilai ringgit juga merosot ke paras terendah dalam tempoh setahun.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL), penanda aras pasaran tempatan turut dipengaruhi oleh berita bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Lehman Brothers dilaporkan mengalami kerugian lebih besar disebabkan krisis kewangan dan masalah kredit.

Bursa Malaysia menyertai bursa-bursa utama di Asia mengalami kejatuhan apabila IKKL ditutup jatuh 21.63 mata kepada 1,041.07 mata hari ini.

Lehman mengalami kerugian AS$3.9 bilion (RM13.26 bilion) dalam suku fiskal ketiga di sebalik membuat hapus kira baru terhadap aset gadai janji.

Sementara itu, para penganalisis tempatan berkata, faktor luaran merupakan antara penyebab yang menjejaskan pasaran saham selain kejatuhan harga komoditi dan meningkat risiko politk dalaman.

Penganalisis Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Koay Yi Chuan berkata, kejatuhan harga minyak sawit mentah (MSM) sememangnya dijangkakan berlaku berikutan dengan pengukuhan nilai mata wang dolar AS menimbulkan rasa tidak yakin kepada para pelabur.

''Kaunter perladangan didapati mengalami kejatuhan terburuk dan beberapa penggerak utama dalam sektor perladangan yang mengalami penurunan mendadak ialah IOI Corporation, Sime Darby, Kulim, dan KL Kepong.

''Faktor lain termasuk kemungkinan berlakunya permintaan yang dicatu berikutan kelembapan ekonomi dunia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, prestasi buruk Bursa Malaysia berpunca daripada pengambilan keuntungan dana asing dan tempatan.

''Kebanyakan pelabur tempatan termasuk pelabur runcit cuba mengambil kesempatan untuk menjual saham-saham bukan mewah,'' kata beliau.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj pula berkata, kelemahan tahap ekonomi AS masih menjadi punca kepada kelembapan pasaran saham seluruh dunia.

Katanya, faktor para pelabur berpindah kepada portfolio baru iaitu pelaburan mata wang Amerika Syarikat turut menyebabkan kejatuhan pasaran saham global.

"Para pelabur asing sudah tidak yakin dengan pelaburan dalam perladangan dan mereka beralih arah kepada portfolio baru.

Kejatuhan harga komoditi dunia menjadi faktor yang memaksa bursa saham tempatan hari ini ditutup rendah,'' ujarnya.

Alsetdek memberitahu, perkara itu menyebabkan para pelabur melupuskan pelaburan dalam perladangan dan di dalam beberapa sektor yang lain.

Beliau berkata, keadaan politik serantau yang tidak stabil juga menyebabkan pasaran saham di Malaysia turut menerima tempiasnya.

"Masalah ini akan berterusan sekiranya keadaan politik serantau berterusan bergolak. Perubahan sistem pentadbiran politik di Amerika Syarikat iaitu pemilihan Presiden AS pada 4 November nanti.,'' katanya.

Inilah situasi yang akan dialami oleh semua pelabur saham.Namun sebagai orang Islam kita harus sentiasa bersyukur dan menganggap ini sebahagian ujian Allah swt kepada hambaNya.

No comments: