07 October 2008

Pasaran saham merudum

Utusan Malaysia melaporkan
Bursa Malaysia, Asia jatuh
KUALA LUMPUR 6 Okt. – Pasaran saham tempatan dan bursa-bursa saham utama di Asia menjunam hari ini berikutan kebimbangan terhadap krisis kewangan Amerika Syarikat (AS) serta kebimbangan ia akan merebak ke Eropah.

Penanda aras Bursa Malaysia, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) telah menyusut sebanyak 19.86 mata atau 1.4 peratus kepada 996.8 mata.

Di antara bursa-bursa lain yang turut terjejas termasuk Bursa Saham Tokyo yang merosot sebanyak 465.05 mata, atau 4.25 peratus, kepada 10,473.09, Singapura jatuh 5.61 peratus atau 128.80 mata kepada 2,168.32 dan beberapa lagi bursa Asia yang turut terkena tempias itu.

Menurut Penganalisis MIMB Investment Bank, Shahril Anas, kebimbangan terhadap krisis kewangan AS semakin memuncak walaupun Kongres telah meluluskan pakej bantuan menyelamat bernilai AS$700 bilion (RM2.4 trilion) bagi memulihkan semula keadaan.

‘‘Kebimbangan tersebut bersandarkan kepada para pelabur tidak yakin terhadap bagaimana dan bila kerajaan AS dapat melaksanakan pelan bantuan tersebut serta keberkesanan pakej itu dalam menangani krisis kewangan yang melanda.

‘‘Selain itu, para penganalisis turut berpendapat kerajaan AS memerlukan lebih kurang AS$500 bilion (RM1.7 trilion) lagi, untuk menangani krisis kewangan tersebut,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, pasaran tempatan akan terus berada dalam trend menurun pada minggu ini berikutan pelabur tempatan yang masih melihat keadaan yang berlaku di pasaran saham AS sebelum membuat sebarang pelaburan.

Sementara itu, Penganalisis Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Koay Yi Chuan berkata, kejatuhan pasaran saham tempatan juga adalah disebabkan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) yang telah menyebabkan kaunter-kaunter perladangan seperti IOI dan KLK mengalami kerugian.

‘‘Kejatuhan harga MSM telah mengakibatkan pelabur tempatan menarik keluar pegangan saham mereka dalam pasaran,’’ katanya.

Meskipun pakej menyelamat kewangan AS USD700 bilion telah diluluskan tetapi masih tidak melonjakkan pasaran saham. Apakah makna sebalik insiden ini?

1 comment:

Pok Li said...

Salam singgah. Saya link blog saudara. Selamat Hari raya Eid ul Fitri. Maaf Zahir Batin