
Utusan Malaysia melaporkan.
AirAsia rancang bina terminal -Tidak akan terus memohon beroperasi di Subang
Oleh AZMAN IBRAHIM
SEPANG 9 Okt. – AirAsia Bhd. (AirAsia) tidak menolak kemungkinan untuk merangka pelan membina sebuah terminal sendiri setelah permohonan syarikat itu untuk beroperasi di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang tidak dilayan oleh kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tony Fernandes berkata, pihaknya tidak mahu lagi memikirkan mengenai permohonan terhadap LTSAAS, sebaliknya akan merancang sesuatu yang lebih baik daripada itu.
Tony memberitahu, melalui pelan baru itu, pihaknya akan memastikan kemudahan di terminal baru berkenaan akan menjadi lebih baik daripada LTSAAS.
“Syarikat penerbangan kami mengalami pertumbuhan perniagaan yang amat baik, oleh itu, syarikat kami tidak lagi bersesuaian untuk menjalankan operasi di LTSAAS.
“LTSAAS pernah menjadi terminal impian yang baik untuk AirAsia, tetapi sekarang tidak lagi dan ia dianggap terlalu kecil bagi kami,’’ katanya pada majlis perpisahan pesawat Boeing 737-300 terakhir yang diadakan secara rasmi hari ini.
Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan melalui temu bual eksklusif Utusan Malaysia menyatakan keputusannya untuk mengekalkan operasi AirAsia di Terminal Syarikat Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Lajim Ukin menegaskan tiada sebab untuk kerajaan menimbangkan permintaan syarikat berkenaan, meskipun AirAsia berkali-kali membuat permohonan untuk beroperasi di Subang.
Menurut beliau, kerajaan telah membelanjakan RM108 juta untuk membangunkan LCCT, selain RM124 juta lagi bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf terminal dalam usaha meningkatkan keselesaan penumpang di terminal tersebut.
Katanya, kerja-kerja menaik taraf itu sudah cukup untuk menampung keperluan syarikat penerbangan tambang murah terbesar di Asia Tenggara itu.
Dalam pada itu, Fernandes menambah, pihaknya tidak akan memikirkan lagi mengenai hasrat untuk beroperasi di LTSAAS sejajar dengan majlis perpisahan pesawat Boeing 737 yang diadakan secara rasmi hari ini.
‘’Setelah habis majlis perpisahan Boeing 737 hari ini, kami tidak akan membuat permohonan seumpamanya lagi,’’ ujarnya.
Manakala Berita Harian Online melaporkan
AirAsia sedia tanggung kos bina terminal LCCT
KUCHING: AirAsia sedia menanggung seluruh kos pembinaan Terminal Tambang Murah (LCCT) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sekiranya permohonan mereka membina kompleks berkenaan diluluskan kerajaan dalam tempoh terdekat.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Tony Fernandes, berkata syarikat penerbangan itu mampu menjimatkan kos operasinya sehingga 40 peratus berikutan caj tinggi dikenakan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) ketika pesawatnya mendarat di sini.
"Sekiranya permohonan mendapatkan LCCT di LTAK diterima, setiap penumpang hanya perlu membayar RM25 bagi cukai dengan ia akan turut menurunkan kos operasi yang terpaksa ditanggung syarikat.
"Kerajaan Negeri sendiri memberi sokongan kepada kami termasuk menyediakan tapak LCCT berkenaan dengan kelulusan dari kerajaan sahaja dinantikan sebelum kerja pembinaan dapat dilakukan," katanya ketika sidang media pengumuman laluan baru AirAsia di sini, semalam.
"Dengan kenaikan harga minyak tidak stabil, kami berhadapan cabaran besar namun komitmen kami kepada sektor pelancongan di Sarawak tidak pernah berubah dan akan terus menyokong usaha berkenaan," katanya.
AirAsia ketika ini mempunyai 182 penerbangan seminggu ke Sarawak membabitkan laluan dari bandar utama di sini ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Pulau Pinang selain laluan antarabangsa lain.
Selepas berkali-kali memohon kepada kerajaan untuk berpindah ke LTSAAS, Air Asia berkeras mahu membina terminal baru meskipun dengan menggunakan modal mereka sendiri.Bahkan mereka juga syarikat yang menjadi pelanggan terbesar menempah Airbus A320 sebanyak 225 buah bagi menggantikan Boeing 737-300. Kepada Semua peneraju GLC belajarlah daripada tokoh korporat ini yang tidak hanya bergantung dengan kerajaan untuk melonjakkan prestasi syarikat mereka. Berdikari dan Inovatif mematangkan pengurusan kita, Malaysia sangat kaya dengan sumber ekonomi yang membantu meningkatkan pendapatan.
No comments:
Post a Comment