18 August 2008

Hari Bersejarah

Assalamualaikum anakanda semua...

Semoga anakanda berada dalam keadaan sihat walafiat. Mungkin email ini anakanda terima dan baca selepas hari penuh bersejarah lagi gemilang kepada anakanda semua selepas 3 tahun bergelar siswa dan siswi. Sekarang anakanda sudah pun bergelar seorang graduan Diploma Pengurusan dan Pentadbiran Islam maka sewajarnya kita semua mengucapkan berbanyak-banyak kesyukuran kepada Allah, dan selawat atas Nabi junjungan Muhammad SAW.

Ayahanda bangga dan bersyukur kerana Allah mempertemukan kita di sini. Meskipun pertemuan kita tidaklah sekerap mungkin tetapi ada sesuatu yang istimewa bila teringat anakanda semua...tidak tertulis semuanya di sini. Ayahanda sendiri akan ingat jasa-jasa kalian kepada DPPI khasnya, dan kepada ayahanda sendiri tidak ada ganti anakanda 17 orang ni.

Pada hari ini juga, ucapkanlah terima kasih pada ibubapa anakanda semua...salam tangan mereka, ciumlah pipi dan kucuplah dahi mereka dengan penuh rasa sayang, tidak berbelah bahagi dan curahkan doa rahmat kepada mereka agar sentiasa dipelihara oleh Allah.

Meskipun begitu, ayahanda sangat tersentuh bila membaca email dari anakanda Zila..dia terkenang pada ayahnya sebelum bertolak ke Melaka petang Isnin. Apa tidaknya, ketika dia berada di majlis gemilang ini zila tersentuh hatinya kerana tidak dapat berkongsi hari bahagia dengan ayahandanya. Begitu juga (mungkin sama kepada anakanda Salwa, Fahimah ) mereka teringat ayah yang telah pergi lebih awal menemui Allah. Selayaknya anakanda seperti Zila akan mengingatkan kepada kita semua betapa besar ertinya insan yang kita panggil Ayah dan Ibu kan..subhanaAllah..

Ayahanda sangat faham situasi sebegini. Walaupun ibubapa ayahanda masih ada, tetapi Zila mengajar betapa pentingnya kehadiran ibubapa untuk berkongsi hari kejayaan yang penuh kenangan manis dan pahit selama 3 tahun di sini.

Anakanda...

Hidup tidak berhenti setakat ini. Banyak lagi cabaran akan menemui anakanda semua dan pastinya dengan kesabaran, kecekalan dan kepintaran anakanda semua pasti akan berjaya menghadapinya.

Setiap kekurangan pasti ada kelebihan, begitu juga setiap kelebihan pasti ada kekurangan. Yang sempurna hanyalah ALLAH Maha Sempurna. Kerana itu jangan sekali-kali sombong dengan-Nya,sentiasa berdoa agar hidup kita diiringi dengan reda Allah dan juga ibubapa.

Tanpa pengorbanan ibubapa...siapa kita sekarang? Jika dah bekerja dan dapat gaji lebih mulia anakanda beri sumbangan tetap pada mereka. Banyak jenis atau bentuk..duit tunai, barang atau apa sahaja yang dahulunya mereka mungkin tak dapat nak beli kerana belanja mereka telah diutamakan kepada anakanda..sentiasalah menjenguk,melawat dan bertanya khabar mereka..balik ke kampung walau jauh mana kita berada.

Sekian dulu buat anakanda. Jika diizinkan Allah kita berjumpa lagi. Tetapi sudilah kiranya kita semua saling berhubung melalui apa saja yang termampu. Tidak ada nilai yang lebih besar daripada menjaga ikatan perkenalan ini.

Salam sayang dari ayahanda.

RAHISAM RAMLI.

No comments: