19 August 2008

Syukur Nikmat Kemerdekaan


Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 51. Semoga kita semua akan lebih berusaha dan memastikan kedaulatan negara berada dalam kesejahteraan dan perlindungan Allah SWT.

Syukur Nikmat Kemerdekaan

Oleh: RAHISAM RAMLI

Meraikan kemerdekaan negara bukanlah semata-mata dengan melaungkan ucapan merdeka pada setiap 31 Ogos tetapi merupakan simbol mensyukuri atas nikmat kurniaan Allah SWT yang sangat tinggi nilainya. Apatah lagi perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan negara tidak didapati secara percuma kerana ianya menuntut segala macam bentuk pengorbanan sama ada dari sudut harta dan nyawa. Perjuangan kemerdekaan juga bukanlah satu perjalanan yang singkat dan mudah kerana ianya merupakan adunan antara kebijaksanaan para pemimpin yang ikhlas dan kesetiaan rakyat memartabatkan bangsanya untuk membebaskan dari perhambaan penjajah kepada bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Inilah antara sifat “hubbul watan” atau patriotisme yang disertai dengan kesetiaan dan semangat setiakawan yang kebal dari hati para pejuang dan sokongan semua rakyat Malaysia ketika berhadapan dengan pelbagai bentuk penjajahan selama 446 tahun dicengkaman penjajah.

Nikmat kemerdekaan tidak terhenti setakat membebaskan diri dari cengkaman penjajah sahaja tetapi hasil kemerdekaan yang disaksikan selama 51 tahun yang lalu terbentang luas di hadapan mata dapat disaksikan. Sama ada dari sudut peningkatan ekonomi, pendidikan, perpaduan kaum dan sumbangan negara di peringkat antarabangsa menjadi ukuran betapa hebatnya kemerdekaan dinikmati oleh kita semua.

Perjuangan kemerdekaan juga dapat disaksikan melalui sejarah perjuangan dakwah oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bagi menterjemahkan Islam sebagai cara hidup seseorang muslim. Diplomasi dan musyawarah sebagai formula utama untuk membebaskan diri dan tanah air daripada dakyah ajaran sesat. Rasulullah s.a.w. berdiplomasi dengan penduduk Yathrib untuk menerima kaum Muhajirin. Manakala musyawarah yang diamalkan pula merujuk kepada rancangan baginda mendamaikan setiap kaum di Madinah yang berbilang melalui satu kontrak sosial iaitu Perlembagaan Madinah.

Dengan adanya kewujudan sebuah kawasan yang bebas penjajah maka Islam akan dapat diamalkan dengan penuh kebebasan dan aman damai. Oleh sebab itu Baginda berhijrah ke Madinah kerana mendapati negara tersebut boleh menerima ajaran Islam untuk diamalkan dengan cara yang lebih terhormat, bermaruah dan bebas dari sebarang bentuk ancaman dan penindasan. Di sinilah bermulanya era kemerdekaan pertama bagi Islam kerana tanpa adanya tanah air atau kawasan untuk melaksanakan cara hidup Islam maka sudah pasti ajaran Islam amat sukar dan mustahil untuk disebarkan kepada seluruh pelusuk dunia.


Sebagaimana Rasulullah sa.w. menyedari betapa bahayanya ancaman penjajahan dan penderitaan hidup orang Islam maka baginda mengatur strategi bijak melalui dasar diplomasi dengan ketua negara yang menjamin survival ajaran Islam. Baginda berhijrah kerana memulakan pendekatan betapa penting kewujudan sebuah kawasan yang berdaulat untuk kelangsungan aktiviti dakwah Islamiah di Madinah.

Baginda SAW telah memberi jaminan dan meyakinkan penganut-penganut agama lain bahawa Islam bukannya sebuah agama yang meniupkan gejala permusuhan apatah lagi untuk menguasai sesuatu kaum dengan amalan diskriminasi. Tetapi kehadiran Islam hanyalah untuk memperbetulkan keadaan yang tidak menuruti ajaran Allah SWT dan menentang perilaku yang bertentangan dengan norma-norma kemanusiaan. Rasulullah SAW akhirnya berjaya meredakan ketegangan hubungan kaum yang sedang berlaku di kalangan penduduk Yahudi dan prasangka penganut agama lain dengan ajaran Islam secara bijaksana seterusnya diterima oleh penduduk yang berbilang kaum.

Dasar pentadbiran negara yang dilaksanakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. itu amat bertepatan dengan perintah Allah s.w.t. di dalam Surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud “Wahai umat manusia! sesungguhnya kami menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal antara satu sama lain. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya”.

Melalui ayat tersebut memerlukan kita berfikir untuk mengusulkan dua strategi iaitu untuk hidup aman damai dengan bangsa-bangsa lain dan menjadi orang yang paling bertakwa. Bagaimana kita dapat mengenali antara satu sama lain dalam keadaan tidak aman, sering berperang dan mencurigai sehingga tidak mampu mengerah idea untuk merancang ke arah pembangunan? Bagaimana pula usaha kita untuk menjadi orang yang paling bertakwa di sisi Allah andainya fikiran diserabutkan dengan hasutan syaitan yang sangat benci dengan kedamaian dan kesejahteraan di kalangan manusia. Disebabkan itulah manusia perlu memerdekakan dirinya terlebih dahulu daripada ajaran yang hanya menjurus ke arah penjajahan minda yang sesat.

Begitu itu jugalah tindakan bijak yang telah diperjuangkan oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara kita. Mereka mendapati hijrah terbaik yang bertepatan pada saat itu ialah membentuk minda penduduk agar bangkit memperjuangkan kemerdekaan tanah air, mengusir penjajah dari bumi Melayu kerana tiada negara lain yang akan menerima proses migrasi ke negara luar. Hakikatnya tindakan pemimpin terdahulu dianggap satu strategi bijak betapa perlunya sebuah tanah air untuk kita menjalankan segala amal ibadah Islam dengan penuh khusyuk dan aman damai di tanah air sendiri.

Walaupun peringkat awal sejarah perjuangan adalah melalui penentangan bersenjata tetapi ia berubah kepada kaedah diplomasi dan musyawarah kerana lebih bertepatan dengan metod yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w.

Jadikanlah situasi negara-negara yang sedang bergolak ketika ini sebagai benteng pengajaran supaya kita terus dapat menikmati kemerdekaan negara pada tahun-tahun berikutnya Semakin kuat mereka berusaha untuk memperbaiki keadaan semakin ganas dirobek oleh manusia yang suka menyalakan api permusuhan.

Ini kerana keadaan hidup yang tidak tenteram seringkali menjadikan senjata pembunuhan sebagai alat pengadilan dan disertai dengan emosi yang menjurus ke arah persengketaan. Meskipun pelbagai daya usaha yang diusulkan agar dapat menghentikan konflik peperangan tetapi ianya tidak semudah yang disangka kerana melibatkan kepentingan yang tidak terhad selain daripada rasa curiga yang mendalam dengan pihak lain.

Kini, menghayati kemerdekaan perlu diraikan selaras dengan tuntutan syarak iaitu dengan mengucapkan kesyukuran dan berdoa agar kedaulatan negara akan dipertahankan pada setiap masa. Penjajahan tidak akan terhenti begitu sahaja walaupun telah 51 tahun ia berlalu tetapi modus operandinya sedikit berubah melalui bidang ekonomi. Justeru seruan pemimpin negara agar umat Islam menguasai ekonomi di peringkat global harus disambut dengan bersungguh-sungguh agar episod penjajahan tidak akan berulang semula.

Marilah kita bersama-sama menyemarakkan semangat ini tanpa berbelah bagi, tidak menoleh ke belakang dengan kisah-kisah yang tragis malahan terus memfokuskan usaha-usaha ke arah memajukan negara dalam pelbagai lapangan. Justeru, elakkan dihambat dengan berprasangka buruk, saling mencurigai, membendung segala fitnah dan tohmah dan mempunyai jiwa yang penuh dengan dendam kesumat, kerana akibatnya nanti amatlah dahsyat dan merendahkan martabat sebagai negara yang bertamadun. Sebarang konflik yang tidak terkawal bukan hanya bakal mengorbankan ramai nyawa yang tidak berdosa malahan memusnahkan impian untuk menjadi sebuah bangsa yang bertamadun lagi berjaya.

Maka seluruh umat Islam perlu memperbanyakkan amalan sebagai tanda kasihnya kepada negara dan semangat patriotisme yang tinggi kerana telah berjaya membentuk sebuah negara yang aman damai. Menghayati kemerdekaan juga merupakan sebahagian daripada tuntutan ajaran Islam mensyukuri nikmat Allah SWT yang sangat tinggi nilainya.

RAHISAM RAMLI ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka (KTIAM)

No comments: