22 October 2008

Inikah nasib Nurul Huda Ghani?


Rahisam Ramli

17 Januari 2004, empat tahun lalu, seorang kanak-kanak ditemui mati di pondok pengawal TNB Johor Bahru, Kg Pekajang, JB. Mohd. Abbas Danus Baksan, 52, bekas pengawal yang telah dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi JB kemudiannya merayu di Mahkamah Rayuan tetapi rayuannya ditolak. Hari ini 16 Oktober, Mahkamah Persekutuan melepaskan kesalahan membunuh (tidak kena hukuman mati)hanya sabit kesalahan merogol (penjara 20 tahun dan 24 sebatan).

ARKIB Utusan Malaysia: 17/10/2008
Terlepas hukuman gantung
Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 16 Okt. - Seorang bekas pengawal keselamatan terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitan terhadapnya atas kesalahan membunuh seorang pelajar, Nurul Huda Gani, 10, empat tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi ketika membenarkan rayuan akhir Mohd. Abbas Danus Baksan, 52, berpuas hati bahawa wujud kehadiran pihak ketiga yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan mangsa.

Beliau yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Aziz Mohamad bagaimanapun sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan 24 kali terhadapnya atas kesalahan merogol mangsa.

Dia dipenjarakan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor bermula 26 Januari 2004 selepas mengaku bersalah merogol Nurul Huda antara pukul 9.20 pagi dan 1 petang, 17 Januari 2004, di pondok pengawal pencawang masuk utama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kampung Pekajang, Tanjung Kupang, dekat Johor Bahru, Johor.

Mohd. Abbas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 27 Ogos 2004 kerana membunuh mangsa. Dia kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan. Rayuannya ditolak.

Nurul Huda ditemui oleh polis dalam tandas di pondok pengawal itu dalam keadaan berbogel sambil duduk mencangkung dengan kedua-dua belah tangannya berada di dagu.

Hakim Zaki ketika membacakan penghakimannya menyatakan, kehadiran pihak ketiga itu dibuktikan melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan penemuan kesan air mani pada sehelai tikar yang dijumpai di luar pondok pengawal itu.

''Dengan adanya pihak ketiga, mustahil bagi mahkamah membuat kesimpulan bahawa perayu merupakan satu-satunya individu yang terlibat membunuh mangsa," ujarnya.

Hakim Zaki turut berpendapat, siasatan polis tidak menyeluruh menyebabkan wujud banyak lompang pada kes pendakwaan antaranya kesahihan identiti salah seorang saksi pendakwa yang sebelum itu ditangkap bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, peguam Jagdish Kaur yang mewakili Mohd. Abbas berhujah, walaupun kesan air mani pihak ketiga itu tidak ditemui pada tubuh mangsa sebaliknya pada sehelai tikar, ia mencukupi bagi menyimpulkan bahawa bukan perayu seorang berada di tempat kejadian.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hanafiah Zakaria berhujah, perayu bijak melupuskan bukti kes menyebabkan ahli kimia tidak menemui apa-apa kesan air mani pada tubuh mangsa.

Menurut beliau, pemeriksaan doktor tidak menemui sebarang spermatozoa pada kemaluan mangsa melainkan cecair jernih yang memungkinkan bahawa alat sulit kanak-kanak itu telah dibersihkan daripada kesan ejakulasi.

Mohamad Hanafiah turut menghujahkan, perayu seorang penipu kerana kerap berdolak dalih ketika gerakan mencari mangsa dilakukan di kawasan pondok pengawal itu.

Beliau menyatakan, perayu bukan sahaja tidak mengaku melihat kanak-kanak itu ketika ditanya oleh kakak yang mencarinya di situ, malah dia juga menafikan demikian ketika ditanya oleh penduduk kampung dan polis.

Sebaliknya, hujah Mohamad Hanafiah, dia menyuruh mereka mendapat kebenaran pihak pengurusan untuk memasuki pondok pengawal bagi melengah-lengahkan masa agar dia sempat melupuskan mayat kanak-kanak itu.

2 comments:

Brahim Nyior said...

Sdr Rahisam,

Saya turut berasa marah dan tak puas hati dengan keputusan mahkamah, tapi untuk menyejukkan hati, saya hanya katakan pada hati, "Tak mengapalah, di dunia, dia terlepas, di akhirat, balasan Allah tetap adil."

Kekadang kita rasa mahkamah tidak berlaku adil, tapi yang mainkan peranan ialah peguam bela, pendakwa dan mereka yang menjadi saksi.

Saya harap, anak-anak saya tidak ada yang jadi peguam, sebab pada saya, kerjaya itu membantu orang yang salah untuk bebas.

Mungkin pemikiran saya nampak konservatif, tapi ramai rakan saya yang jadi peguam tidak menafikan hakikat ini. Malah, ramai yang hanya menerima kes untuk buat agreement pinjaman rumah dan kereta.

RAHISAM RAMLI said...

brahimnyior-sebab itu juga kita berdua tidak dilahirkan sebagai hakim kerana tersentuh dengan peristiwa ini.

Moga keluarga Nurul Huda Ghani sentiasa dalam perlindungan Allah.