20 December 2008

Jantung atau Untung!

Institut Jantung Negara (IJN Sdn Bhd) ditubuhkan pada bulan September 1992 yang lalu di mana Kementerian Kewangan mempunyai pemilikan syarikat sebanyak 99.99 peratus. Isunya apabila IJN samada diserahkan, diambilalih, dijual kepada SIME DARBY yang dikatakan hanya mahu membeli ekuiti sebanyak 51 peratus sahaja. Baca di Utusan Online

Perdana Menteri memberitahu, jika pengambilalihan itu berlaku, ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan terhadap rakyat malah kerajaan akan membina hospital yang serupa dengan IJN sekiranya ada kemampuan termasuk di luar Kuala Lumpur.

Menurutnya, cadangan pengambilalihan itu perlu diberikan pertimbangan sewajarnya terutama dalam meningkatkan lagi kemampuan IJN daripada segi menyediakan rawatan, ubat dan pakar-pakar yang terbaik.

''Dalam bidang perubatan ini, banyak perubahan yang berlaku dalam erti kata hospital yang kita nak jadikan paling canggih mesti ada alat paling baik begitu juga ubatnya dan pakarnya juga yang terbaik.
"Ini mungkin memerlukan kita membayar gaji lebih, bergantung pada siapa yang memilikinya, jadi banyak kos yang perlu dikeluarkan bagi menambah kekuatan dan keupayaan serta menambah lagi bilangan katil untuk pesakit serta bilik bedah," katanya.

Sehubungan itu kata Abdullah, ada baiknya jika ada pihak swasta yang dekat dengan kerajaan seperti Sime Darby yang merupakan syarikat milik kerajaan (GLC) terlibat dalam pengambilalihan tersebut.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini ramai yang mengandaikan IJN milik kerajaan dan rakyat berpendapatan rendah dapat menikmati rawatan daripadanya hingga menyebabkan mereka bimbang jika ia diuruskan oleh swasta.

Bagaimanapun beliau berkata, keputusan pengambilalihan itu bergantung kepada banyak syarat dan sama ada Sime Darby mampu memenuhi harapan kerajaan.
"Harapan kita adalah agar perkhidmatan hospital yang begitu cemerlang seperti ini akan tetap dapat dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah yang pada hari ini sedang menikmati rawatan seperti itu dengan caj yang berpatutan," katanya.

Sementara itu pihak Konglomerat Sime Darby Berhad (Sime Darby) yang mengesahkan hasrat untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam Institut Jantung Negara (IJN), memberi jaminan untuk mengekalkan khidmat sosial perubatan jantung kepada golongan miskin.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid berkata, aspek tersebut adalah antara tiga syarat yang digariskan oleh Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dalam surat persetujuan secara prinsipal bagi Sime Darby mengambil alih kepentingan tersebut dalam IJN.

Menurutnya, Sime Darby merupakan pihak yang mengemukakan cadangan rasmi kepada kerajaan mengenai hasrat tersebut beberapa bulan lalu dan bukan kerajaan yang menemui konglomerat itu.
Katanya, Sime Darby sendiri terkejut dengan berita yang tersiar hari ini, sedangkan pihaknya baru hari ini menerima surat kelulusan EPU.

Surat EPU tersebut ujarnya, mensyaratkan Sime Darby supaya memberi komitmen untuk meneruskan tanggungjawab sosial kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin termasuk kakitangan kerajaan seperti yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan menerusi IJN sekarang.

Beliau berkata, syarat lain ialah rundingan mengenai nilai ekuiti pengambil alihan kelak yang memerlukan Sime Darby melaksanakan kajian wajar yang akan dikemukakan semula kepada kerajaan untuk kelulusan.
Syarat terakhir katanya, ialah berkaitan penyediaan pelan perniagaan iaitu perancangan Sime Darby untuk memajukan lagi IJN dalam tempoh lima tahun atau selanjutnya.

''Ini bukan pengambilalihan sebuah syarikat perniagaan ke atas IJN, sebaliknya merupakan perkongsian. Kami hanya mahukan 51 peratus dan bakinya masih dipegang oleh Kementerian Kesihatan.
''Dan mengapa Sime Darby? Ini kerana Sime Darby juga adalah sebuah syarikat rakyat. Kami adalah syarikat milik kerajaan (GLC) dan memiliki 10.5 juta pemegang saham,'' katanya pada sidang akhbar khas di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara di sini hari ini.

Sidang akhbar tersebut diadakan berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sebelah pagi, yang mengesahkan khabar angin dalam blog mengenai kemungkinan Sime Darby mengambil alih IJN.
Ahmad Zubir berkata, di pihak Sime Darby, pengambilalihan itu akan mampu membawa sinergi kepada IJN, menerusi kekuatan Bahagian Penjagaan Kesihatan Kumpulan Sime.
''Kita komited terhadap perkhidmatan sosial kepada mereka yang berpendapatan rendah dan dari sudut Sime Darby, aspek mereka yang berkemampuan akan turut menikmati manfaat.

''Misalnya, jika berlaku katil atau bilik pembedahan penuh di IJN kelak, pesakit tersebut boleh dihantar menggunakan kemudahan kami di Pusat Perubatan Pakar Subang Jaya (SJMC) dan dengan doktor yang memiliki kepakaran yang sama,'' jelas beliau.
Menurut beliau, langkah seterusnya ialah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus sebagai formaliti.
Beliau menafikan pihaknya akan membuat rombakan terhadap barisan pengurusan IJN kerana 'mereka kini menguruskan IJN dengan cemerlang'.

Ditanya mengenai pendapat bahawa bila sesebuah institusi kerajaan diambil alih swasta akan menukar kadar caj, Ahmad Zubir berkata, pihaknya komited untuk tidak berbuat demikian.
Ahmad Zubir berkata, langkah mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam IJN adalah sejajar dengan pelan perluasan Bahagian Penjagaan Kesihatan Sime Darby.

Sime Darby kata beliau, mempunyai pilihan untuk membina sendiri pusat perubatan jantung tetapi ia akan memerlukan bertahun-tahun untuk membina nama dan reputasi.
Sebaliknya menerusi jenama IJN ujarnya, aspek reputasi tidak menjadi masalah disebabkan IJN sememangnya sudah terkenal sebagai pusat perubatan jantung terulung di rantau ini.

P/s : Kebimbangan sama ada IJN memberi khidmat sosial dengan tagline-Taking Care Of Your Heart atau Untung semata-mata masih banyak pertanyaan dan jaminan yang perlu dibuktikan. Antara jantung atau untung kedua-duanya sukar dipilih dan dipisahkan kerana mempunyai kepentingannya kepada manusiawi.

No comments: