28 November 2008

Memahami Fatwa Yoga,

[POST TAMBAHAN]-Sehingga ke hari ini fatwa pengharaman YOGA masih kedengaran. Mungkin akibat ketidakfahaman atau sengaja tidak faham terserah kepada ilmu masing-masing. Berikut paparan FATWA YOGA yang boleh diakses pada laman web JAKIM http://www.islam.gov.my/portal/yoga_Bm.php.

"Antara perkara yang telah dibincangkan oleh Ahli Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 22 – 24 Oktober 2008  di Kota Bharu, Kelantan ialah senaman Yoga.  Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan-pandangan yang berkaitan dengan Yoga maka, Ahli Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman  Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.

Oleh itu, Ahli Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.  Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.  Namun demikian,  masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim. 

Seperti yang kita sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:

           (1)       kepercayaan atau keyakinan di hati.
           (2)       menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah.
           (3)       perbuatan.

 Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis

Rumusan daripada Fatwa tersebut yang mudah difahami adalah seperti berikut:

  1. Apakah sebenarnya YOGA?
    1. YOGA merupakan gabungan amalan fizikal, ritual Agama Hindu, Mantera dan Pemujaan.
    2. Tujuan YOGA ialah mendapatkan ketenangan.
    3. Kemuncak akhir YOGA ialah penyatuan diri dengan tuhan.
  2. Mengapakah HARAM?
    1. Merosakkan akidah Islam melalui kepercayaan, perkataan, pengakuan dan perbuatan.
    2. Mengandungi gabungan ketiga-tiga unsur di Bahagian A.
    3. Menjaga pegangan akidah umat Islam.
  3. Adakah YOGA DIHARAMKAN sepenuhnya?
    1. TIDAK sepenuhnya-hanya yang ada unsur pemujaan, bacaan mantera, kepercayaan tuhan selain Allah SWT.
    2. YOGA yang hanya mengandungi senaman fizikal tidak diharamkan.
  4. Adakah YOGA dibenarkan untuk umat Islam?
    1. YOGA yang hanya mengandungi senaman fizikal sahaja tidak menjadi kesalahan. Hukumnya adalah diharuskan (dibolehkan).
  5. Apakah kewajipan umat Islam selepas FATWA YOGA dikeluarkan?
    1. Menjaga akidah Islam agar tidak dipengaruhi oleh unsur kepercayaan Hindu.
    2. Sebaik-baiknya langkah berhati-hati ialah tidak terlibat langsung dalam YOGA.
  6. Adakah alternatif selain YOGA?
    1. SOLAT yang dilakukan dengan penuh khusyuk kepada Allah SWT.

      Apapun alternatif yang hendak dicadangkan kepada umat Islam, SOLAT lah kewajipan utama yang mengandungi pelbagai unsur-unsur kepada manusia.

[POST ASAL]

KEPUTUSAN muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (JFMK) terus menjadi bahan pertikaian dalam media massa. Terkini, keputusannya mengharamkan YOGA kepada umat Islam (dengan alasan dan hujah) tidak terlepas dari polemik orang ramai.

    Oleh kerana isu-isu semasa yang melibatkan pemutusan hukum syarak seringkali menjadi perhatian orang ramai, maka ada pihak-pihak tertentu yang masih tidak berpuashati dengan keputusan Majlis dengan pelbagai pandangan peribadi. Kredibiliti JFMK menjadi medan perbincangan sehinggakan ada yang pula terlebih pandai dari jawatankuasa fatwa sendiri.

    Perlu diingat bahawa JFMK memutuskan sesuatu keputusan melalui muzakarah atau perbincangan detail melalui jawatankuasanya yang terdiri daripada 22 ahli yang pakar dalam pelbagai bidang syariah Islam (boleh rujuk senarai nama di http://www.islam.gov.my/informasi/jawatankuasafatwakebangsaan.html ) Sudah tentu keputusan yang dibuat adalah menurut metodologi kajian yang detail dan bukan secara sambil lewa.

    Antara isu-isu yang telah diputuskan oleh jawatankuasa JFMK antaranya:

  1. Caj Pinjaman Tabung Pendidikan Negara
  2. Pelaburan saham dalam ASB dan Asn
  3. Pengharaman Pengkid
  4. Isu mubahalah
  5. Penggunaan Dakwat khas untuk pilihanraya
  6. Botox


     

Apa yang menjadi kebimbangan kini ialah apabila segala keputusannya bukan cuba difahami tetapi lebih kepada usaha untuk menunjukkan bahawa JFMK telah membuat keputusan yang tidak tepat. Kini insitusi JFMK sendiri yang menjadi sasaran bahan perdebatan dan bukannya isu utama dalam keputusan yang dibuat. Perdebatan ini bukan sahaja dibuat oleh orang bukan Islam malahan orang Islam sendiri yang cuba menggugat kredibilitinya sebagai insitusi utama dan rujukan untuk umat Islam.


 

Sekadar bertanya-apakah kita lebih 'Alim dan layak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan?

1 comment:

Unknown said...

Ar Ra'd:28.

(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.