31 May 2013

Apa nak jadi kalau tak suka berjihad?



Jihad militan memang perlu untuk keselamatan, namun jihad perlembagaan lebih perlu untuk keselamatan akidah umat Islam. (Gambar selepas istiadat pentauliahan Leftenan Muda 1997)

Bersama rakan separas Kamsis Z UKM sebelum berbaris di padang kawad.
Bola sepak atau takraw ni?Irfan dan syafiq bersungguh-sungguh nak dapat lipat gunting
Artikel ini telah diubahsuai dan disiarkan dalam Utusan Malaysia dan majalah Dewan Masyarakat .


Jihad Perlembagaan. Benteng terakhir Melayu-Islam.

Perlembagaan difahami sebagai dokumen penting, panduan utama hidup bernegara yang perlu dipatuhi oleh manusia dalam sesebuah negara. Ia juga menjadi simbol kedaulatan negara yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pencerobohan diangap sebagai jenayah. Perlembagaan bukan matlamat akhir atau garisan penamat yang hendak dicapai oleh masyarakat tetapi dokumen itu merupakan proses memahami seiring dengan keperluan mempertahankan sebarang tingkahlaku yang bertentangan dengan etika seseorang manusia.  .

Perlembagaan bukan bahan gurauan atau mainan Perlembagaan bersifat hidup, memerlukan pentafsiran yang benar-benar memahami kehendak amalan setempat. Prof Salleh Buang (2007) menyatakan perlembagaan memerlukan kaedah pentafsiran tersendiri sesuai dengan sifatnya tanpa terkongkong oleh kaedah pentafsiran biasa. Menariknya dalam hal ini beliau menegaskan amalan dan adat resam yang telah sebati, menjadi darah daging sejarah perlembagaan negara menjadi landasan pentafsiran perlembagaan, bukan sekadar literal semata-mata. Maknanya jihad perlembagaan perlu ambilkira the spirit of the law bukan sekadar the letter of the law .

Perlembagaan adalah nadi negara. Mempertahankan kedaulatan negara dan maruah dianggap sebagai jihad. Jihad pula mengandungi banyak kaedah, objektif dan cara. Jihad bukan satu perkataan asing di kalangan umat Islam kerana perkataan ini pun berasal dari bahasa Arab. Dalam konteks pemahaman manusia ia sinonim dengan perjuangan dalam semua perkara yang membawa kebaikan Islam. Malah dalam konteks Malaysia jihad sering dikaitkan dengan hal-hal berkaitan dengan pendidikan dan ekonomi. Sebagai contoh impian memenuhi Wawasan 2020 menjurus kepada jihad tersebut. Apabila mengaitkan dengan kelemahan Melayu maka terbit pula Jihad Ekonomi. Apabila diasak dengan kelompangan sikap Melayu akhirnya kita masih teraba-raba adakah benteng lain yang boleh kita harapkan agar tidak lagi dilayukan. Meskipun kadangkala ianya dipinggirkan tetapi kini nampaknya mula hangat dengan sinergi baharu iaitu Jihad Perlembagaan. 
Jurang antara seseorang dengan orang lain ialah iman, amal dan ilmunya. Maka segala tindakan dan perkataan pemimpin dan rakyat pada hari ini tidak wajar lagi boleh dihamburkan dengan emosi semata-mata. Fakta-fakta perundangan banyak digunakan sebagai pemutus pertikaian yang berlaku. Rasional mengatasi emosional, fakta mengatasi kata dusta. Banyak pertikaian akhirnya akan diputuskan melalui keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang. Kekuatan dan kelemahan kita bukan lagi pada tubuh badan yang perkasa lagi berotot tegap, malah semua bergantung kepada tegap dan kuatnya ilmu pada perlembagaan. Maka kita harus melahirkan lebih ramai rakyat yang celik undang-undang (meminjam kata-kata Prof Salleh Buang) agar menggunakan fikiran dengan waras dan mempunyai daya tahan dari serangan yang membelakangkan agenda nasional.

Menurut Ismail Ibrahim (2010), Malaysia tidak mengamalkan dasar asimilasi yang meleburkan keturunan bangsa, bahasa dan budaya kaum pendatang. Namun, kepelbagaian bangsa, budaya dan bahasa ini tidak menjadi sesuatu yang melebarkan jurang dalam kalangan masyarakatnya. Mereka mengamalkan dasar hidup bersama secara aman dan damai dalam kepelbagaian kaum dan bangsa (peaceful coexistence) dan bersatu dalam kepelbagaian (unity in diversity). Almarhum Dr. Said Ramadhan al-Butiy pernah menyatakan kesal dengan sikap umat Islam yang masih bersikap tertutup, sedangkan mereka amat memerlukan idea baru untuk berubah. Dengan kata lain, pemikiran jumud terbentuk kerana kejahilan yang sekaligus merencatkan pemikiran untuk berijtihad dalam kerangka cabaran umat Islam masa kini.

Menurut Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz, sudah sampai masanya rakyat memahami sistem pemerintahan dan politik negara. Saranan ini sama ada memperlihatkan rakyat negara ini masih jahil dalam hal ehwal perlembagaan negara kita sendiri. Sedangkan kita sudah melahirkan ramai graduan, ahli korporat, para pemimpin dan cerdik pandai masih belum memadaikah untuk menjelaskan kepentingan perlembagaan? Atau isi-isi perlembagaan itu kurang dipedulikan kerana kita lebih cenderung merasionalkan sesuatu krisis secara emosional? Mungkin kedua-dua sebab itu ada perkaitannya. Adalah lebih baik kita meneruskan jihad perlembagaan sebagai simbol dan manifestasi kesungguhan untuk menguasai, bukan sekadar faham dan membaca perlembagaan tetapi menjadi nadi setiap kali kita berhujah dengan isu-isu negara.

Kejahilan dalam perlembagaan menyebabkan kita diasak dengan gejala murtad. Masih ingatkah lagi  kita pada kisah yang mengharukan apabila seorang ayah bernama Bokhari Md. Tahir, “kehilangan” anak mereka bernama Nor Aishah pada 1997? Mengapa begitu goyah sekali hingga kita sekadar menjadi pemerhati kepada anak gadis tersebut dari ancaman akidah? Sudahkah kita belajar menjadi pakar perlembagaan untuk mendepani ancaman murtad? Adakah pihak Majlis Agama Islam negeri-negeri sudah mendapat pengajaran berguna agar gejala murtad tidak menghilangkan ramai lagi anak remaja? Umat Islam memang berharap institusi yang gah dengan visi dan misi sebagai peneraju umat Islam ini masih tercari-cari jihad apakah yang mereka perlukan tatkala ini.

Mengapa jihad perlembagaan begitu penting kepada Melayu-Islam? Selain isu murtad lihat apakah tindakan susulan untuk menyelamatkan akidah Islam dari sudut perlembagaan? Cukupkah kejahilan Melayu-Islam digemparkan lagi hingga perlu perhimpunan sejuta untuk menyelamatkan akidah umat Islam pada tahun 2011. Selepas perhimpunan itu ke mana Melayu-Islam? Persoalan-persoalan sebegini masih memerlukan kajian mendalam agar kita dapat mencari mekanisme untuk melakukan jihad perlembagaan selepas krisis PRU13 yang sering menggunapakai hal berkaitan perundangan.

Institusi pengajian tinggi dan pusat-pusat latihan Islam mengeluarkan graduan dan pelatih yang mampu menguasai dan mengetahui prosedur perundangan sahaja tetapi dalam konteks jihad kita memerlukan usaha yang lebih dari itu. Jihad perlembagaan memerlukan kita memahami perlembagaan dari aspek  the spirit of the law bukan lagi sekadar the letter of the law. Ketempangan jihad inilah yang perlu dibaiki segera agar menjadi pelengkap kepada jihad-jihad lain yang sedang diusahakan oleh umat Islam.

Perkara 153 masih menjadi isu yang dicetuskan untuk memperkukuhkan hak istimewa orang Melayu di Malaysia yang hidup bersama dengan kaum-kaum lain. Namun realitinya hak istimewa itu menjadi cabaran besar dalam suasana Melayu yang sudah mendapat pendidikan sehingga peringkat tertinggi mempunyai perspektif pada sisi lain. Ini kerana Melayu bukan lagi kaum lemah yang perlu “tongkat” dalam menguruskan kehidupan tetapi jihad Melayu beralih kepada menterjemahkan hak istimewa itu kepada perundangan yang sifatnya merentas kaum dan bukannya dalam kepompong Melayu sebelum zaman kemerdekaan.

Dalam cabaran ini kajian-kajian yang membicarakan perundangan murtad memperlihatkan perlunya jihad perundangan dengan menilai semula peruntukan enakmen jenayah syariah untuk membendung ancaman akidah yang boleh mengubah keistimewaan jati diri Melayu-Islam. Sensitiviti Islam lebih menyerlahkan Melayu kerana proses Islamisasi. Keistimewaan Perkara 153 hendaklah diperkasakan dengan pembinaan sebuah negara yang diuruskan dengan prinsip-prinsip Islam, di situlah titik mula kekuatan Melayu.

Kini kita harus mendepani cabaran perundangan yang baru dari sudut populasi Melayu-Islam makin luas menerusi ikatan perkahwinan. Sebagai contoh di Sabah, menurut Baharuddin Alwi, ketua pendaftar perkahwinan dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah perkahwinan di antara orang Islam Sabah dengan rakyat asing semakin meningkat semenjak tahun 2000, berjumlah hampir 20,000 perkahwinan sepanjang 13 tahun lalu. Malah angka perkahwinan di antara orang Islam di negeri Borneo itu meningkat dari 399 pada tahun 2000 ke 2,545 dalam sepuluh bulan pertama pada 2012. Di sebalik perkahwinan ini bererti populasi umat Islam semakin bertambah. Maknanya umat Islam makin ramai dan kita memerlukan badan kawal selia yang berkualiti. Ini kerana kuantiti sahaja tidak menjamin kekuatan umat Islam pada zaman sekarang yang sering goyah dengan perundangan.

Jihad perlembagaan termasuklah celik kepada Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang mengandungi huraian menghasut. Apa kesan menghasut selain dari mendatangkan perasaan benci, dendam, penghinaan dan lebih dahsyat lagi boleh membawa pergaduhan dan pembunuhan. Hal demikian menghasut adalah jenayah yang mencetuskan ketegangan rakyat maka setiap orang jangan membiarkan perbuatan menghasut menjadi darah daging hingga sukar dibanteras seperti mana sukarnya membasmi perbuatan rasuah.

Maka jihad perlembagaan adalah benteng terakhir kita mendepani isu Melayu-Islam. Menguasai perundangan boleh merapatkan jurang perhubungan kaum yang ketara di kalangan rakyat Malaysia apabila wujud lompang besar dalam bidang ekonomi, pendidikan dan politik. Tidak salah jika memulakan langkah ini dengan membeli buku-buku perlembagaan walaupun sukar difahami tetapi jangan khuatir kerana ianya pernah diungkapkan alah bisa tegal biasa.
  

No comments: