01 April 2013

Inikah wajah politik Islam?

Sekian lama tidak menulis di majalah maka ini adalah hasil terbaru tetapi belum pasti akan disiarkan atau tidak.Yang penting saya cuba meneruskan penulisan ilmiah.
Ketika program bersama pelajar DPPI di Seremban...sekarang ramai yang berjaya dengan karier masing-masing, KECUALI yang sebelah kanan tu (mohd syafiq baru darjah 5)



Wajah Sebenar Politik Islam
Oleh: Rahisam Ramli
Politik sering disalahertikan sebagai punca perbalahan sesama manusia yang berbeza ideologi. Ia juga sering menjadi faktor kepada perselisihan faham antara kaum sehingga mencetuskan peperangan. Lebih mendukacitakan lagi apabila ada yang memberi nasihat “jangan asyik berpolitik” atau “jangan terlibat dengan politik” kerana dilingkari oleh pemikiran sempit dalam ertikata politik yang sebenar. Apabila ekosistem politik sempit dijadikan amalan tidak mustahil boleh membantutkan daya pemikiran manusia dalam memahami kerangka politik Islam sebenar. Politik adalah fitrah manusia yang hidup bermasyarakat dan kehendak manusia sentiasa menginginkan ketenangan dan keselamatan dalam bernegara. Maka amalan berpolitik biarlah diuruskan pada landasan sebenar bagi mencapai tujuan yang murni.
Umum mengetahui bahawa politik adalah sebahagian daripada amalan manusia dalam soal pentadbiran negara. Oleh kerana pentingnya disiplin berpolitik maka ada universiti menjadikan jabatan politik sebagai salah satu bidang kepakaran yang ditawarkan kepada mahasiswa. Segala teori dan konsep berpolitik menjadi nadi kajian universiti kerana melihat keupayaan berpolitik sebagai kuasa mentadbir kehendak dan keperluan manusia yang mengandungi pelbagai aliran kefahaman. Namun mengapa apabila membuat penelitian alam realiti, terdapat pertentangan antara teori dengan hakikat sebenar politik itu sendiri.
Hal demikian terjadi akibat ekosistem berpolitik seringkali dilihat dari kacamata negatif sehingga mewujudkan jurang yang ketara dalam hubungan sesama manusia. Jurang yang wujud kerana kefahaman berpolitik hanya memperjuangkan kumpulan masing-masing. Sedangkan aliran-aliran politik yang pelbagai bukan menjadi alasan untuk berpecah belah dan mencetuskan polemik manusia, namun itulah yang sedang berlaku di mana-mana negara.
Bagaimanakah wajah sebenar politik dalam Islam? Apakah ianya menjadi punca perbalahan, penghalang kemajuan dan memberi bebanan kepada manusia? Jawabnya mudah, kita soroti dahulu definisi politik agar kita kenal apakah wajah politik yang sebenarnya. Apabila sudah terjawab maka kita akan mempunyai kerangka pemikir bahawa politik adalah disiplin yang sangat unik dengan nilai-nilai kemanusiaan atau dikenali dengan istilah “jiwa besar” oleh Dr Muhamad Razak Idris (2013).
Menurut beliau dalam amalan politik Islam yang ditunjangi oleh sistem dan amalan demokrasi, kemenangan dan kekalahan samada di peringkat individu atau parti adalah lumrah dalam pemilihan. Bagi yang mencapai kemenangan, mereka tidak harus mendabik dada kesombongan kerana proses pemilihan akan berterusan pada masa akan datang. Manakala pihak yang menerima kekalahan pula, berhati terbuka mengakui kelemahan dan kesilapan serta meletakkan keputusan atas kebijaksanaan masyarakat terbanyak serta bersedia pula untuk menyumbang ke arah pembangunan politik Islam dalam kadar atau kapasiti yang berlainan. Jiwa besar menghalang kelahiran sikap pemberotakan dan manipulasi keras terutama oleh pihak yang menanggung kekalahan.
Dalam bahasa Arab politik dirujuk sebagai perkataan “siasah” ia bermaksud mentadbir dan mengendalikan sesuatu urusan, pekerjaan dan sebagainya dengan baik. Ibn Manzur menyatakan maksud siasah termasuklah mengendalikan urusan yang berkaitan dengan manusia, haiwan dan pelbagai urusan yang lain. Selain itu siasah juga diertikan sebagai arahan dan larangan serta tugas mendidik yang menjadi sebahagian dari usaha mentadbir.
Perkataan siasah boleh digunakan dalam pelbagai aspek, namun demikian semua maksudnya tidak terkeluar dari maksud asalnya iaitu melakukan sesuatu tindakan yang menguntungkan atau mendatangkan kebaikan.
Keuntungan dan kebaikan tersebut diperolehi dengan pelbagai cara seperti dengan cara memimpin, merancang, mengurus, mentadbir, mengendalikan urusan, mejaga keperluan, membantu dan sebagainya (Shukeri Muhammad 1999). Oleh itu siasah adalah satu istilah yang sangat berkaitan dengan urusan kerajaan dan rakyat, skopnya ialah bagaimana pihak kerajaan mengendalikan hal-ehwal kenegaraan yang memberi kebaikan dan keuntungan kepada rakyat dan masyarakat. Dari sini sudah memadai untuk kita membuka minda agar melihat politik dari aspek positif dan ia sangat signifikan dengan kehidupan manusia.
Islam sentiasa merentas sempadan pemikiran manusia dalam apa jua disiplin ilmu. Bahkan disiplin politik juga tidak terkecuali apabila para ulamak membahaskan “siasah” dalam bab yang khusus dalam penulisan mereka. Objektif perbingcangan politik hampir sama iaitu mempamerkan politik Islam atau dikenali sebagai siasah syar’iyyah. Ibn Aqil menyatakan siasah syar`iyyah ialah suatu tindakan oleh pemimpin yang boleh menyelamatkan orang ramai dan menghindarkan mereka dari kehancuran. Ibn Nujaim pula mengutarakan pandagan siasah ialah tindakan dari pihak pemerintah berdasarkan kemaslahatan yang dilihatnya sekalipun tidak ada dalil secara langsung dan terperinci ke atas perbuatan itu. Selain itu Ibn Abidin menegaskan siasah ialah mengelokkan keadaan orang ramai dengan membimbing dan memimpin mereka ke jalan yang selamat di dunia dan akhirat.
Apabila diteliti pandagan ulamak masa kini juga hampir sama. Contohnya al-Bujairimi menyatakan siasah ialah mengelokkan urusan rakyat dan mentadbir urusan mereka. Dr. Muhammad Na‘im Yasin menjelaskan siasah ialah pentadbiran hal ehwal rakyat yang dijalankan oleh pemimpin Islam atau pembantunya berdasarkan maqasid al-Ammah. Syeikh Abd al-Wahab Khallaf pula menjelaskan siasah ialah menjalankan pentadbiran awam sebuah negara Islam berdasarkan sesuatu yang menjamin kebaikan dan mengelakkan keburukan di mana ia tidak terkeluar dari batas-batas syariat dan dasar-dasar umumnya walaupun perkara itu tidak menepati pendapat para imam mazhab.
Bertolak dari pandangan tersebut maka sewajarnya kita perlu berada dalam kerangka sebenar berpolitik. Kita boleh bersetuju bahawa wajah sebenar politik dalam Islam ialah segala tindak-tanduk yang membawa kebaikan manusia dan menolak kemudaratan dengan berpandukan agama Islam. Islam pula merentas sempadan geografi negara dan amalan setempat menjadi salah satu pelengkap dalam melaksanakan syariat Islam.
Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, Shukeri Muhamad (2009) menjelaskan bahawa Allah Taala sengaja mencipta kepelbagaian kaum adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap pengurusan yang membawa kepada lahirnya unsur-unsur takwa melalui aktiviti kenal mengenal, bantu membantu, hormat menghormati. Jelas sekali Allah Taala tidak menganjurkan amalan permusuhan atas dasar perbezaan kaum dan agama itu, tetapi menganjurkan amalan yang baik dan murni (membangun).
Maka sekali lagi wajah sebenar politik Islam ialah tindakan dan aksi berpolitik yang menjunjung perpaduan kaum sebagai salah satu tujuan berpolitik. Sebaliknya jika kita tidak mencapai piawaian berpolitik seperti yang dijelaskan oleh ulamak maka ia bukanlah sistem politik Islam yang benar. Ketidakselarian berpolitik dijelaskan oleh Syeikh Yusuf al-Qaradhawi yang menempelak pemikiran sesetengah pihak yang melihat bahawa politik tidak berkaitan dengan agama Islam. Pemikiran sebegini adalah benih- benih dari pemikiran golongan yang anti kepada agama dan itulah punca kepada perbalahan di kalangan manusia.
Perlakuan ahli politik yang membawa pepecahan, perbalahan dan ketidakstabilan bukanlah wajah sebenar politik Islam. Apabila kita memahami wajah sebenar politik dalam Islam, maka kita mendapati satu matlamat yang sama iaitu politik itu membawa kesatuan, keamanan dan keselamatan. Malahan politik juga membawa manusia kepada makna kehidupan yang lebih bermakna kerana menuju suatu kualiti hidup yang diperlukan oleh manusia bersesuaian dengan kehendak dan zaman. Persoalannya apakah kita sudah bersedia mempamerkan ekosistem politik Islam sebenar? 
Penulis ialah pensyarah Kolej Universiti Islam Melaka sedang mengikuti pengajian Doktor Falsafah di UKM.


No comments: